SHENZHEN – Selepas mencuba pelbagai pekerjaan sejak usia 18 tahun, Luo Xikun akhirnya berjaya mencapai impiannya sebagai juruterbang dron di Shenzhen, Guangdong, selatan China.
Kini berusia 31 tahun, Luo telah terlibat dalam pembangunan dan ujian 18 laluan penghantaran dron ekspres untuk sebuah platform e-dagang terkemuka di China, Meituan.
Luo memulakan kerjayanya sebagai pembantu dapur dan kemudian menjadi penghantar makanan di Meituan, di mana dia menyambung pengajian untuk memperoleh ijazah sarjana muda.
Minatnya terhadap peranti mekanikal sejak kecil mendorong Luo untuk mencuba nasib apabila Meituan membuka peluang kepada penghantar makanan menjadi juruterbang dron pada April 2022.
Selepas sebulan menjalani latihan teori dan praktikal yang intensif, Luo lulus peperiksaan oleh Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) dan memperoleh sijil kelayakan. Dia kemudian dilantik sebagai juruterbang dron kecemasan untuk Meituan.
Peralihan kerjaya ini mengubah kehidupan Luo secara drastik.
“Dulu saya habiskan 8 hingga 10 jam sehari di jalan menghantar makanan. Kini, saya perlu sentiasa berfikir dan belajar, jika tidak, saya akan ketinggalan,” katanya.
Luo mengkaji kes penerbangan terdahulu dan merumuskan pengalaman untuk menambah baik kemahirannya, sambil menekankan bahawa penerbangan memerlukan ketelitian tanpa ruang untuk kesilapan.
Baru-baru ini, Luo dipindahkan ke jawatan yang menumpukan kepada ujian penerbangan dan penerokaan laluan baharu, termasuk di lokasi bersejarah seperti Tembok Besar China.
Pada 16 Ogos, Beijing melancarkan laluan penghantaran dron pertama di Tembok Besar Bahagian Badaling untuk membolehkan pelancong menerima barangan kecemasan dalam masa beberapa minit, yang sebelum ini mengambil sekitar 50 minit berjalan kaki.
Menurut Luo, peralihan kerjayanya bukan sahaja mencerminkan perkembangan peribadi tetapi juga seiring dengan usaha negara untuk pembangunan berkualiti tinggi melalui inovasi sains dan teknologi.
China secara aktif mempromosikan pekerjaan berkualiti untuk belia melalui ekonomi altitud rendah dan industri baharu lain yang sedang berkembang.
Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan China, Li Chunlin menjelaskan teknologi mampu melahirkan banyak pekerjaan baharu seperti juruterbang dron, yang kini mempunyai lebih sejuta kekosongan pekerjaan di seluruh negara.
Pada akhir 2023, CAAC melaporkan terdapat 1.267 juta dron yang didaftarkan di seluruh industri, meningkat 32.2 peratus berbanding 2022.
Sementara itu, bilangan lesen juruterbang dron yang sah meningkat 27.2 peratus kepada 194,400 pada tahun yang sama.
Luo melihat masa depan dengan penuh harapan, terutama dalam ekonomi altitud rendah yang sedang berkembang. – Xinhua