Penghantaran jemaah haji tahun ini dibatalkan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan menyokong sidang Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) pada 6 Jun lalu, Negara Brunei Darussalam hari ini memutuskan pembatalan penghantaran jemaah haji negara pada tahun 1441H/2020M.

Pembatalan itu diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin, tidak ada penghantaran bagi 1,000 jemaah haji yang telah terpilih untuk menunaikan ibadat haji tahun ini dan orang-orang yang berurusan sendiri sama ada belayar dari dalam negara atau luar negara atas sebab-sebab berdasarkan hukum syarak sebagaimana yang difatwakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan dalam Siri Fatwa (no. 14/2020) bertajuk Penghantaran Jemaah Haji bagi Tahun 1441/2020 dalam Situasi Pandemik Wabak COVID-19, merumuskan, penularan wabak COVID-19 masih menjadi ancaman kepada seluruh dunia dan penyebaran virus ini belum lagi terhenti sepenuhnya dalam waktu yang terdekat.

Kerajaan Arab Saudi sedang berusaha untuk mengekang atau memutus rantaian penularan wabak COVID-19 daripada terus menjangkiti dan mendatangkan mudarat kepada penduduknya. Antaranya, dengan melaksanakan perintah berkurung, penggantungan ibadat umrah dan penutupan masjid-masjid di Tanah Haram seperti Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, jelas Yang Berhormat Pehin.

“Oleh yang demikian adalah menepati kehendak syarak untuk menangguhkan penghantaran jemaah haji Negara Brunei Darussalam bagi tahun 1441H/2020M ini, berdasarkan berat sangkaan keadaan tidak selamat akibat penularan pandemik COVID-19 yang masih berleluasa sehingga kini, yang tidak dapat diketahui atau dijangka bila ia akan berakhir,” katanya.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ketika mengumumkan pembatalan penghantaran jemaah haji negara pada tahun ini.
Umat Islam menuju ke Masjid Nabawi, di Arab Saudi untuk menunaikan solat fardu Zuhur ketika Ramadan baru-baru ini. Dengan pandemik COVID-19 masih membelenggu sebahagian besar dunia termasuk tanah suci di Arab Saudi, Negara Brunei Darussalam memutuskan tidak menghantar jemaah haji tahun ini. – AFP

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, pihak berkuasa atau kerajaan berpendapat pemergian jemaah haji pada musim haji tahun 1441H/2020M ini dianggap tidak selamat dan tertegah maka tegahan tersebut wajiblah dipatuhi demi kemaslahatan jemaah haji iaitu keselamatan mereka daripada ancaman wabak COVID-19 yang sedang melanda dunia itu.

Berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan yang telah membentangkan senario dan situasi global pandemik COVID-19 dalam persidangan majlis itu, menetapkan masih ada kekhuatiran berhubung keadaan jangkitan pandemik itu. Oleh yang demikian Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa selaras juga dengan Siri Fatwa (14/2020) itu maka pihaknya adalah menyokong untuk negara kita menangguhkan penghantaran jemaah haji tahun ini.

Di samping itu, pengurusan ehwal ibadat haji pula menyatakan bahawa sehingga sekarang semua urusan berhubung dengan penghantaran 1,000 jemaah haji negara masih belum dibuat kerana prosesnya dibekukan. Begitu juga dengan visa haji, slot penerbangan, pengangkutan dan hotel tempat tinggal di Madinah, Mekah dan urusan di Masyair (Arafah dan Mina) bahkan urusan penjagaan kesihatan oleh petugas kesihatan dan perubatan dari Kementerian Kesihatan kita yang akan menyertai jemaah semasa di tanah suci. Semuanya belum dapat dibuat dan diproses.

Oleh yang demikian Jabatan Urusan Haji Kementerian Hal hwal Ugama menyatakan bahawa masa adalah sangat suntuk untuk melakukan atau memproses semua itu sekiranya pun ibadat haji dibukakan kepada jemaah dari luar negara seperti biasa.

Sehubungan dengan ketetapan ini, maka segala urusan dan komitmen antara jemaah haji dengan syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan pakej haji adalah akan diselesaikan antara mereka termasuklah bayaran-bayaran yang telah diterima daripada bakal jemaah oleh syarikat-syarikat berkenaan.