Penghantaran kargo udara perlahan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Pengurangan penerbangan dari Brunei Darussalam ke negara-negara jiran dan serantau kerana pandemik COVID-19 menjejaskan sedikit sebanyak penghantaran kargo ke negara ini.

Memandangkan penerbangan dikurangkan contohnya ke Singapura dua kali seminggu berbanding 14 kali sebelum ini, ke Kuala Lumpur pula seminggu sekali berbanding 12 kali, maka penghantaran barang-barang kargo terpaksa dikumpulkan mengikut penerbangan yang ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan berhubung penghantaran kargo udara yang terjejas pada masa pandemik.

“Mungkin ada yang lama menunggu, namun perkara ini tidak dapat dielakkan kerana penerbangan kita pada masa ini hanya dibuat ke lima buah bandar saja iaitu Singapura, Kuala Lumpur, Hong Kong, Manila dan Melbourne,” tambahnya.

Menurutnya lagi, mereka yang ingin mengimport barangan misalnya dari Kuala Lumpur, terpaksalah menunggu seminggu sekali sahaja dan ini pun tertakluk kepada keadaan di mana ada kalanya barangan kargo terlalu banyak sehingga melebihi had yang dapat dibawa.

“Inilah cabaran yang kami hadapi. Semoga pada masa depan apabila COVID-19 ini mula reda, kami akan mene-liti risiko frekuensi yang lebih banyak ke beberapa bandar,” jelasnya.

Menurut Yang Berhormat Dato, mereka yang memerlukan kargo udara terpaksalah menunggu jadual kapal terbang ke tempat berkenaan, manakala mereka yang menggunakan kargo laut mungkin mempunyai lebih banyak pilihan.