Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Jabatan Penerangan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Sebanyak 3,000 pek ubat Paxlovid telah selamat tiba di Negara Brunei Darussalam dari London, United Kingdom (UK), kelmarin di mana ia merupakan penghantaran pertama daripada sebanyak 25,000 pek ubat Paxlovid yang telah diperoleh oleh Kementerian Kesihatan dariSyarikat Pfizer.
Ubat Paxlovid berbentuk tablet dan mengandungi dua jenis ubat iaitu ubat Nirmatrelvir 150mg dan Ritonavir 100mg di mana ia adalah sejenis ubat oral antiviral keluaran Syarikat Pfizer, Amerika Syarikat (AS) yang telah pun diberi kebenaran penggunaan kecemasan (EUA) daripada Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat AS (FDA) dan juga daripada Pihak Berkuasa Kawalan Ubat Negara Brunei Darussalam.
Fungsi ubat Paxlovid adalah untuk menyekat sistem replikasi virus di mana aktiviti enzim protease yang diperlukan virus SATS-CoV2 untuk mereplika dalam sel manusia dapat dihalang.
Dengan adanya ubat Paxlovid itu, pesakit-pesakit COVID yang dikategorikan berisiko tinggi akan diberikan keutamaan untuk rawatan dengan ubat tersebut bagi mengurangkan risiko mereka daripada mendapatkan simptom COVID yang teruk.
Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa setiap pesakit perlu menjalani penilaian oleh pihak doktor bagi memastikan kesesuaian untuk menerima ubat berkenaan dan rawatan adalah bagi tempoh lima hari.
Bagi maklumat lanjut dan perkembangan terkini, bolehlah melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.