Penghargaan tanda motivasi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Para pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang bersara serta para penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA) dan penerima Anugerah Kakitangan Berjasa dan Berbakti Perkhidmatan Awam (AKB2PA) diraikan pada Majlis Sambutan Hari Perkhidmatan Awam KHEU yang berlangsung di Bilik Sepakat 4 dan 5, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para penerima yang diraikan pada majlis bersempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam bagi 2019 itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, para pengarah dan penolong pengarah, ketua-ketua bahagian dan pegawai-pegawai kanan KHEU.

Pemangku Pengarah Pentadbiran, KHEU, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa majlis itu bertujuan untuk memberikan tanda penghargaan kepada pegawai dan kakitangan KHEU yang telah bersara pada 2018 atas jasa yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatan mereka dalam perkhidmatan awam khususnya di kementerian berkenaan.

Beliau menyatakan bahawa pada majlis berkenaan, seramai 94 orang pegawai dan kakitangan KHEU yang telah bersara dalam perkhidmatan pada 2018 menerima sijil persaraan.

“Semoga segala khidmat bakti pegawai dan kakitangan yang diraikan pada pagi ini sepanjang tempoh perkhidmatan dalam perkhidmatan kerajaan khususnya di KHEU akan menjadi amal jariah dan mendapat ganjaran daripada Allah SWT jua,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan bahawa majlis juga menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada empat orang penerima APCPA bagi Bahagian II, III, IV dan V 2019 serta penerima AKB2PA.

Awang Mohammad Sofian berharap penyampaian sijil penghargaan itu, dapat dijadikan sebagai penyuntik semangat dan motivasi kepada penerima serta menjadi ikutan baik kepada pegawai dan kakitangan KHEU untuk terus berusaha meningkatkan prestasi dan mutu serta kualiti kerja mereka.

Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil persaraan dan sijil penghargaan kepada para penerima oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima yang diraikan pada majlis berkenaan.