Penghasilan tenunan tradisional bangkitkan semangat, keyakinan diri

QUAN BA, Vietnam – Thao Thi Van baru menginjak usia dua tahun apabila ibunya menghilang ketika pergi ke pasar, berkemungkinan menjadi mangsa pedagang haram yang menculik wanita-wanita dari suku kaum bukit Hmong di utara Vietnam untuk dijual sebagai pengantin perempuan atau dijadikan pelacur di rumah pelacuran di China.

Kini berusia 13 tahun, dia masih memikirkan tentang nasib ibunya yang hi-lang, namun telah menemukan ketenangan di sebuah korperasi tekstil bagi wanita-wanita yang tersisih di rantau itu.

“Saya tidak mempunyai kawan di sekolah kerana mereka mengejek saya kerana tidak mempunyai ibu. Saya mencemburui kanak-kanak yang ada ibu,” katanya memberitahu AFP dalam tangisan.

“Saya seronok bekerja di sini kerana saya boleh memperolehi wang dan tidak ada orang yang mengejek saya,” kata Van.

Dia diterima di situ oleh wanita-wanita yang lebih berusia, bekerja dengannya di koperasi itu, tempat dia meraih reputasi sebagai penyulam mahir.

Seorang gadis etnik Hmong sedang menenun tekstil tradisional di koperasi Lung Tam Linen di daerah Quan Ba di utara Vietnam. – AFP
Terdorong untuk meraih pendapatan, Vang Thi Mai menubuhkan sebuah koperasi dipanggil Lung Tam Linen Cooperatives dalam tahun 2001. – AFP
Kumpulan wanita ini membuat beg tangan rami dan penghias meja, lapik gelas atau botol (coaster) dan mainan patung haiwan diperbuat daripada kain. Mereka boleh memperolehi sehingga AS$170 sebulan, gaji yang agak memuaskan di wilayah Ha Giang yang miskin. – AFP
Seorang wanita etnik Hmong membuat cetakan-tangan pada tekstil tradisional di koperasi Lung Tam Linen. – AFP
Seorang gadis etnik Hmong sedang mewarnai tekstil tradisional di koperasi Lung Tam Linen. – AFP
Wanita etnik Hmong memeriksa tekstil tradisional di koperasi Lung Tam Linen. – AFP
Seorang wanita etnik Hmong berusia 80 tahun kelihatan sedang menenun tekstil tradisional di koperasi Lung Tam Linen. – AFP

Wanita etnik Hmong Vang Thi Mai menunjukkan penghias meja yang terdapat di koperasi Lung Tam Linen. – AFP

Kumpulan wanita itu membuat beg tangan rami dan penghias meja (table runners), lapik gelas atau botol (coaster) dan mainan patung haiwan dibuat dari kain. Mereka boleh memperolehi sehingga AS$170 sebulan, gaji yang agak memuaskan di wilayah Ha Giang yang miskin.

Beribu-ribu wanita didagangkan atau ditipu di seberang sempadan setiap tahun dan di rantau pergunungan utara terpencil Vietnam ini, yang sangat dekat dengan sempadan China. Wanita-wanita dan gadis-gadis kerap hilang dari masyarakat mereka.

Industri membeli pengantin di China semakin berkembang, yang dicetuskan oleh kelebihan bilangan kaum lelaki iaitu 30 juta. Sebilangan wanita pergi dengan rela, yang lain diculik atau mendapati diri mereka dipaksa kahwin.

Sebilangan yang bernasib baik yang berjaya dari perkahwinan atau penghambaan seks di China kerap berdepan stigma sepulang mereka ke Vietnam dan dijauhi jiran-jiran.

Terdorong untuk menawarkan tujuan bagi mangsa-mangsa seumpama itu dan juga meraih pendapatan, Vang Thi Mai menubuhkan sebuah koperasi dipanggil Lung Tam Linen Cooperatives dalam tahun 2001.

“Masyarakat mungkin tidak menyukai mereka tetapi di sini mereka berasa yakin,” kata Mai, yang mengenakan pakaian tradisional skirt rami dan baju kot bersulam.

Koperasi itu cepat berkembang dan hari ini sibuk dengan kegiatan yang menggaji lebih 130 orang wanita, bukan sahaja mangsa-mangsa dagangan tetapi juga anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang berusia yang menenun, mencelup dan menjahit fabrik jingga dan biru dari awal pagi hingga senja.

Dengan pekerjaan yang disediakannya, Mai berharap dapat memperkasakan kaum wanita Hmong dalam budaya di mana seksisme begitu berakar umbi dan juga tempat di mana kebanyakan wanita meraih pendapatan beberapa dolar sebulan sebagai petani.

Kemiskinan itu sebahagiannya yang mendorong dagangan wanita di seberang sempadan dan mengembangkan pendapatan melindungi mangsa-mangsa yang berpotensi dan menambah status sosial mereka.

“Jika wanita, terutamanya wanita-wanita yang didagangkan bekerja dalam sebuah kumpulan bersama-sama mereka, menjadikan diri mereka sendiri lebih tabah dengan meraih kuasa berurusan, menambah pengetahuan dan berintegrasi dalam masyarakat,” ujar Ngyuen Tien Phong, ketua pertumbuhan merangkumi Program Pembangunan PBB di Vietnam.

Ini hanyalah antara sokongan yang Mai bayangkan apabila dia menubuhkan pusat itu, hari ini tempat popular bagi pelancong-pelancong yang melalui wilayah yang mempunyai banyak gunung dengan menaiki motosikal.

Tetapi Mai juga mempunyai satu lagi matlamat: untuk mengekalkan adat tenunan Hmong yang berusia berabad-abad lamanya, satu tradisi yang telah pudar di kebanyakan rumah kaum Hmong ketika kemodenan yang telah mula meresap masuk.

Anak-anak gadis yang pernah mempelajari tentang kraf yang mengambil masa, daripada ibu dan nenek mereka, hari ini sibuk dengan kerja sekolah atau Facebook atau lepak bersama kawan-kawan. Kebanyakan wanita di kawasan ini menukarkan jaket rami bersulam beraneka warna dan skirt rami berwarna biru mereka dengan pakaian poliester buatan China.

“Maruah tradisi dan intipati kebudayaan Hmong di Vietnam telah terhakis. Saya perlu mengembalikannya dengan wanita-wanita warga emas mengajar untuk memberikan kemahiran kepada wanita-wanita yang lebih muda,” ujar Mai lagi.

“Di sini kami melakukan kerja secara manual untuk mengekalkan identiti tradisional kami, mutiara budaya Vietnam.” – AFP