PARIS, 6 SEPT – Bilangan orang di bawah usia 50 tahun yang disahkan menghidap kanser telah melonjak di seluruh dunia dalam tiga dekad yang lalu tetapi masih belum jelas mengapa, menurut satu kajian yang diterbitkan hari ini.
Kes kanser dalam kalangan orang berusia 14 hingga 49 tahun meningkat hampir 80 peratus, dari 1.82 juta kepada 3.26 juta, antara tahun 1990 hingga 2019, menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal BMJ Oncology.
Walaupun pakar-pakar memberi amaran bahawa beberapa peningkatan itu sebahagiannya dapat dijelaskan oleh pertumbuhan penduduk, penyelidikan terdahulu juga menunjukkan bahawa kanser menjadi semakin kerap didiagnosis dalam kalangan mereka yang berusia di bawah 50 tahun.
Pasukan penyelidik antarabangsa di sebalik kajian baharu ini menunjukkan bahawa diet yang buruk, merokok dan pengambilan alkohol sebagai faktor risiko utama yang mendasari kanser dalam kumpulan umur ini.
Tetapi ‘trend peningkatan beban kanser awal masih belum jelas’, tambah mereka.
Lebih daripada satu juta orang di bawah 50 tahun meninggal dunia akibat kanser pada tahun 2019, meningkat 28 peratus dari tahun 1990, kata kajian itu.
Kanser yang paling mematikan adalah kanser payudara, saluran udara, paru-paru, usus dan perut, menurut kajian itu.
Kanser payudara adalah yang paling biasa didiagnosis sepanjang tiga dekad tersebut.
Tetapi kanser yang meningkat paling cepat adalah kanser nasofarinks, di mana bahagian belakang hidung bertemu bahagian atas tekak, dan kanser prostat.Sementara itu, kanser hati pula turun 2.9 peratus setahun. – AFP
