Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Penghidap osteosarkoma cekal cari pendapatan bantu keluarga

    KUALA LUMPUR – Keceriaan Muhammad Naim Azly Robort Rashid ketika mempromosikan pelbagai jenis produk jualannya menerusi platform pasaran dalam talian, menyembunyikan hakikat bahawa dia sebenarnya sedang bertarung dengan kanser tulang, atau osteosarkoma, tahap empat.

    Tidak mahu bergantung pada bantuan, pemuda berusia 22 tahun dari Terengganu itu yang kini berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) selepas kaki kanannya terpaksa dipotong dari paras lutut bagi menghalang kanser merebak ke bahagian lain, cekal mencari pendapatan untuk membiayai keperluan perubatannya selain membantu ibu bapanya menyara keluarga.

    “Bukan sikap saya untuk bersedih dengan nasib yang menimpa. Saya terima keadaan saya dan saya mahu teruskan hidup dengan melakukan perkara berfaedah,” katanya, membuka cerita ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.

    Muhammad Naim Azly didiagnosis dengan osteosarkoma pada Mac 2020, tidak lama selepas menamatkan pengajian peringkat sijil di Kolej Komuniti Kuala Terengganu dan sedang bekerja secara sambilan di sebuah kilang tenaga solar di Bayan Lepas, Pulau Pinang, bagi mengumpul dana untuk menyambung pendidikan di peringkat diploma.

    Kudung sebelah kaki

    Menurut anak kelima daripada tujuh beradik berusia 16 hingga 34 tahun itu, segalanya bermula apabila lutut kanannya berasa sangat sakit selain seluruh badannya menggigil ketika dia sedang bekerja.

    Dr Abdul Yazid Mohd Kassim berkata osteosarkoma merupakan penyakit yang amat jarang berlaku. – Bernama

    Muhammad Naim Azly Robort Rashid menghidap kanser tulang tahap empat cekal teruskan hidup dan reda dengan keadaan yang menimpanya. – Bernama
    Muhammad Naim Azly Robort Rashid ketika mempromosikan produk jualannya menerusi platform dalam talian. – Bernama

    “Keadaan ini berterusan menyebabkan saya terpaksa berhenti kerja dan menjalani pemeriksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di Kelantan, di mana doktor mengesahkan saya menghidap osteosarkoma serta perlu segera dibedah pada kaki kanan.

    “Selepas pembedahan, saya terpaksa terima hakikat untuk teruskan hidup sebagai OKU. Saya juga sedar, untuk ‘menang pertarungan’ dengan penyakit ini saya perlu jalani kemoterapi yang kerap.

    “Mujurlah saya ada kad OKU selepas berdaftar dengan Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) yang sedikit-sebanyak membantu meringankan beban pembiayaan rawatan saya,” katanya.

    Bangkit semula

    Menurut Muhammad Naim Azly, ibu dan ayahnya sebelum ini berniaga air balang di pasar malam, namun kini hanya melakukan kerja-kerja rencam untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga yang diburukkan lagi selepas abang dan kakaknya kehilangan pekerjaan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Justeru katanya, dia tidak boleh menjadikan barah yang dihidapi itu sebagai alasan untuk berputus asa.

    Memutuskan untuk berniaga, Muhammad Naim Azly memanfaatkan platform dalam talian bagi menjual barang-barang seperti rantai kunci, penunjuk Al-Quran, penggalas cawan dan pewangi kenderaan.

    “Pada peringkat awal, saya hanya berniaga melalui Facebook. Alhamdulillah, perniagaan saya mendapat sokongan ramai, dan kemudian rakan kongsi perniagaan mengajar saya mengembangkan perniagaan melalui platform Shopee yang pasarannya lebih luas,” ceritanya.

    Menurut Muhammad Naim Azly, dia kini mampu meraih pendapatan bulanan antara RM1,000 dan RM2,000 berbanding hanya RM50 ketika berniaga menerusi Facebook.

    “Selepas mewujudkan akaun dengan Shopee, produk pertama yang saya jual menerusi sesi secara langsung ialah koleksi tudung pre-loved kakak serta adik saya dan sambutannya amat menggalakkan. Setiap kali saya bersiaran, ratusan pelanggan berpotensi ikuti siaran saya,” katanya, menambah perniagaannya meningkat ketara selepas namanya tular.

    Di sebalik itu, Muhammad Azly Naim berkata dia juga tidak terlepas daripada kecaman sesetengah individu yang menuduhnya mereka cerita dan mengambil kesempatan daripada kemurahan hati orang lain, selain ada juga yang mengeji kerana status OKUnya.

    “Saya abaikan semua itu kerana yang lebih penting ialah berusaha mencari rezeki halal sekalipun kita sudah tidak sempurna anggota badan, selain menggembirakan ibu bapa,” katanya.

    Penyakit yang amat jarang

    Sementara itu, pakar bedah ortopedik di KPJ Klang Specialist Hospital Dr Abdul Yazid Mohd Kassim berkata osteosarkoma merupakan penyakit yang amat jarang berlaku, dan di Malaysia, prevalens osteosarkoma ialah satu atau dua orang bagi setiap 100,000 penduduk.

    Menurutnya, penyakit itu yang hanya mewakili satu peratus daripada kesemua jenis kanser yang didiagnosis di negara ini, lazimnya dikesan dalam kalangan kanak-kanak, remaja serta orang muda iaitu lingkungan usia 10 hingga 30 tahun, dengan kumpulan usia remaja paling ramai.

    Bagaimanapun osteosarkoma boleh berlaku pada sesiapa sahaja tanpa mengira usia, jelasnya.

    “Di negara ini, berdasarkan kertas kajian yang diterbitkan dalam Asia-Pacific Journal of Clinical Oncology 2015, bagi tempoh 2005 hingga 2010, sebanyak 163 pesakit osteosarkoma dirawat di HUSM,” katanya.

    Menurut Dr Abdul Yazid, sekalipun punca osteosarkoma tidak dapat dikenal pasti secara khusus, ada faktor-faktor yang dikaitkan dengan peningkatan risiko menghidap penyakit itu seperti sindrom genetik yang jarang berlaku dan diwarisi dalam keluarga, antaranya sindrom Li-Fraumeni (LFS), retinoblastoma keturunan dan juga penyakit paget tulang.

    “Faktor lain termasuk terapi radiasi untuk rawatan kanser. Pendedahan kepada dos tinggi radiasi seperti semasa rawatan kanser, meningkatkan risiko berlaku barah tulang pada masa akan datang,” katanya.

    Dr Abdul Yazid berkata gejala osteosarkoma juga berbeza bagi setiap individu, bergantung pada jenis dan saiz ketumbuhan.

    Amnya, gejala biasa ialah rasa sakit dan bengkak pada kawasan yang berkenaan, peningkatan rasa sakit pada sebelah malam, mudah mengalami patah tulang selain hilang selera makan dan susut berat badan yang tidak diketahui punca, jelas beliau.

    Peluang survival

    Dr Abdul Yazid yang juga doktor pelawat di KPJ Damansara Specialist Hospital, berkata pesakit boleh menjalani kehidupan yang normal selepas melengkapkan sesi kemoterapi atau radioterapi dengan kadar survival antara 43 dan 50 peratus selepas lima tahun didiagnosis.

    “Namun pada pandangan saya, isu utama sekarang ialah kefahaman orang awam tentang penyakit ini amat rendah disebabkan osteosarkoma adalah penyakit tulang yang amat jarang berlaku. Hal ini perlu diubah dengan pengamal perubatan memainkan peranan memberi pendedahan kepada orang ramai melalui sebarang saluran yang ada,” katanya.

    Mengenai rawatan yang ada di negara ini, beliau berkata pesakit perlu mematuhi garis panduan dan protokol rawatan osteosarkoma seperti kemoterapi neoadjuvant, pembedahan menyelamatkan anggota badan (membuang tumor) atau radioterapi.

    “Dalam kes osteosarkoma, kemoterapi diberikan sebelum pembedahan bagi mengecutkan ketumbuhan, atau selepas pembedahan bagi menghapuskan sepenuhnya sel-sel barah dan mengurangkan risiko kanser berulang.

    “Namun jangan bimbang, rawatan osteosarkoma yang ditawarkan di Malaysia adalah setanding dengan piawaian antarabangsa,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...