Penghidap psoriasis kronik rindu kembali ke sekolah

GEORGE TOWN, 28 Jan – Sejak didiagnos menghidap penyakit kulit psoriasis pada Jun 2018, kesihatan Nurqalisya Noor Azmi, 9, semakin merosot menyebabkannya tidak mampu untuk menghadiri sesi persekolahan pada tahun ini.

Qalisya meluahkan keinginannya untuk kembali ke sekolah semasa menerima lawatan Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang Mahanom Mat Sam yang mengunjungi kediaman keluarga Qalisya untuk berbincang tentang keperluan terutamanya berkaitan dengan pelajaran Qalisya.

“Pihak jabatan dan sekolah akan cuba membantu agar ketidakhadiran murid ini ke sekolah tidak menyebabkan beliau ketinggalan dalam pelajaran. Pihak jabatan menyokong usaha pihak sekolah yang sedang berusaha untuk menghantar seorang guru satu jam setiap hari untuk ke rumah murid ini selepas waktu sekolah supaya beliau tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Kami juga bercadang untuk membantu dari segi memotivasikan murid ini dengan menguruskan kaunselor sekolah untuk memantau Qalisya,” kata Mahanom kepada pemberita ketika mengunjungi kediaman keluarga itu, di sini hari ini.

Ibu Qalisya, Noorrehan Che Saad, 33, berkata anaknya yang merupakan murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Minden Height dahulunya merupakan seorang kanak-kanak yang aktif kini hanya mampu terbaring. Katanya, penyakit yang dihidapi oleh kanak-kanak itu mengekang pergerakannya serta kulitnya sensitif dengan persekitaran yang panas.

“Dahulu anak saya aktif, sekarang semakin lemah. Selera makannya pun semakin berkurang. Sebagai seorang ibu, saya amat sedih dengan perubahan mendadak anak saya,” kata Norrehan.

Menurutnya, Qalisya perlu dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) setiap tiga minggu sekali untuk menerima rawatan. Katanya, keadaan anaknya semakin stabil selepas menerima rawatan dari hospital itu.

Norrehan yang merupakan seorang suri rumah dan suaminya Noor Azmi Md Noordin, 39, yang merupakan seorang pemandu bas kilang berharap agar Qalisya kembali aktif seperti kanak-kanak normal biarpun penyakit psoriasis setakat ini tidak mempunyai penawar.

Turut hadir menziarahi kediaman keluarga ini ialah Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Delima Syerleena Abdul Rashid, serta wakil-wakil dari Bank Rakyat, Jabatan Pendidikan, dan pihak sekolah untuk menyampaikan bantuan kepada Qalisya dan keluarganya. – Bernama

Dr.Mahanom Mat Sam (dua, kiri), Guru Besar Sekolah Kebangsaan Minden Height, Mohd Zubir Mat Zain (kiri) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid, (tiga, kanan) bersama pegawai pendidikan melawat pelajar SK Minden Height, Nurqalisya Noor Azmi, 9, yang mengidap penyakit kulit Psiorasis di kediamannya di Flat Taman Tun Sardon, Gelugor dalam program Ziarah Cakna, kelmarin. – Bernama