Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Penghijrahan, kejayaan asnaf jadi inspirasi

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini, telah mengadakan Majlis Ilal Hijrah yang mengetengahkan penghijrahan dan kejayaan beberapa golongan asnaf zakat (fakir miskin dan mualaf) yang berjaya memajukan diri dari segi sosioekonomi dan pendidikan sebagai sumber inspirasi khasnya kepada golongan asnaf lain dan masyarakat umumnya.

    Majlis turut memberi penghargaan kepada rakan-rakan strategik KHEU yang berusaha membantu membangun golongan asnaf tersebut melalui program-program yang disediakan.

    Majlis yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, itu mengekalkan tema Sambutan Awal Tahun 1444 Hijrah iaitu ‘Bersabar, Berikhtiar, Bertawakal dan Berdoa Menghadapi Ujian: Memacu Wawasan Negara’.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman yang turut menyampaikan sijil penghargaan dan pengiktirafan.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang dan para pengarah jabatan dan bahagian serta para pegawai kanan di bawah KHEU.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menyerahkan sijil penghargaan kepada salah seorang golongan asnaf zakat, Awang Ajis.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan penghargaan kepada salah seorang pelajar atas pencapaian cemerlang dalam peperiksaan GCE A Level.

    Majlis menyaksikan penyampaian penghargaan dan pengiktirafan dalam tiga kategori iaitu Dayang Nur Haziyah binti Abdul Rahman @ Enya anak Eri (M) daripada golongan asnaf zakat yang berjaya menaik taraf kehidupan melalui program latihan dan agihan bantuan daripada Majlis Ugama Islam dan Pusat Dakwah Islamiah.

    Selain itu, para pelajar terdiri daripada anak-anak asnaf zakat yang cemerlang dalam pendidikan bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Am Peringkat Lanjutan A, Sijil Tinggi Pelajaran Ugama (STPU) dan ijazah sarjana muda; serta penghargaan dan pengiktirafan kepada rakan-rakan strategik

    KHEU yang turut bekerjasama dalam membangun golongan asnaf.

    Dayang Nur Haziyah ketika ditemui Media Permata berkata, rahsia kejayaannya adalah sentiasa terus berusaha walau apa pun cabaran yang dihadapi dengan niat mengeluarkan keluarga daripada takrif kemiskinan.

    “Alhamdulillah, pada masa ini, keperluan kehidupan sehari-hari diperolehi dari perusahaan sendiri dan syukur setakat ini, kami tidak perlu lagi meminta bantuan daripada mana-mana pihak dan boleh menampung kehidupan dengan sendiri,” ujarnya.

    Sementara itu, pemilik AE Jaya Enterprise, Awang Ajis bin Dollah yang menghasilkan barang-barang perabot rumah berkongsi bagaimana beliau berjaya keluar daripada asnaf fakir miskin.

    Menurutnya, dengan bantuan yang diterima, ia dapat mengubah keadaan menjadi kehidupan lebih teratur dan terarah.

    Menyentuh mengenai cabaran, salah satu ialah permulaan menghasilkan perabot yang mana bidang ini banyak dimonopoli oleh orang luar. Maka dengan itu beliau perlu menghadapinya dengan gigih dan terus berusaha sehingga sekarang.

    Media juga menemu bual salah seorang penerima anugerah Ilal Hijrah iaitu Dayang Salmiah binti Haji Tarang @Wahab yang merupakan pemilik Harum Kindana Catering.

    Beliau berkata, dengan mengikuti Program Propaz sejak 2008 hingga 2009, pada pengambilan kedua, di sana bermulanya mencari ilmu untuk memajukan diri sehingga tertubuhnya Harum Kindana pada 2010.

    Pada 2016, beliau juga pernah tercalon bagi anugerah cemerlang daripada Program PROPAZ dan pada 2017 tercalon sebagai tokoh asnaf berjaya keluar daripada kemiskinan yang berlangsung di Kuala Lumpur.

    Terdahulu Majlis Ilal Hijrah juga diserikan dengan Forum Ilal Hijrah yang disampaikan oleh Aydarus Ahmad Alhabshi dari Republik Singapura dengan Dekan Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar selaku moderator.

    Di akhir majlis, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyaksikan pameran kejayaan dan kecemerlangan peserta-peserta PROPAZ dan asnaf zakat di kawasan Con-course ICC.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...