Penghormatan Ecuador buat Valencia

QUITO, 15 Mei – Presiden Ecuador, Lenin Moreno telah menganugerahkan bekas bintang Manchester United, Antonio Valencia dengan pingat berprestij National Order of Merit sebagai pengiktirafan bermain untuk kelab gergasi Liga Perdana itu selama sedekad.

“Saya telah menamatkan tempoh yang luar biasa di Manchester, tetapi kini satu ‘perlawanan’ sukar menanti dan saya harap untuk ‘bermain’ dengan sebaiknya, iaitu menjadi seorang bapa yang baik, dan ini adalah komitmen kepada anak-anak dan belia negara saya,” kata Valencia, yang meninggalkan Old Trafford Ahad lalu selepas membuat 339 penampilan dengan 25 gol sejak menyertai kelab itu dari Wigan Athletic pada 2009.

“Tuan presiden, saya harap Tuhan memberikan anda ganjaran atas pengiktirafan ini.”

Valencia, 33, menghadiahkan Moreno dengan jersi yang dipakainya pada perlawanan terakhirnya baru-baru ini, dalam satu upacara di Istana Presiden di Quito.

Moreno memuji Valencia kerana mewakili negaranya dengan penuh hormat dan keberanian ‘di atas dan luar padang’.

Dia menekankan pencapaian terbesar Valencia, termasuk menjadi pemain Ecuador pertama beraksi di final Liga Juara-Juara, pada tahun 2011 dan menjadi yang pertama dalam menjulang trofi Liga Europa pada tahun 2017.

Ditandatangani oleh pengurus legenda United, Alex Ferguson, Valencia telah dijadikan kapten ketika kendalian Jose Mourinho meskipun dia tidak banyak beraksi musim ini kerana kecederaan, dan sukar menembusi senarai pengurus baharu, Ole Gunnar Solskjaer.

Dia telah memenangi dua gelaran Liga perdana, Piala FA pada tahun 2016, dua Piala Liga dan Liga Europa.

Dia juga merupakan kapten pasukan kebangsaan dan dijangka beraksi di Copa America bulan depan. – AFP

Valencia (kanan) tersenyum selepas memberikan jersi Manchester United kepada presiden Ecuador. – AFP