Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penghormatan terhadap Jacques Chirac

    PARIS, 27 SEPT – Rakyat Perancis beratur di hadapan istana presiden untuk memberikan penghormatan terakhir kepada bekas ketua negara, Jacques Chirac, hari ini.

    Chirac yang menyandang jawatan Presiden Perancis dari 1995 hingga 2007, meninggal dunia, semalam, pada usia 86 tahun akibat masalah kesihatan sejak sekian lama.

    Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam ucapannya, menyifatkan Chirac sebagai seorang lelaki yang amat disayangi seluruh rakyat, seperti beliau menyayangi seluruh rakyatnya.

    Malah, pihak lawannya turut memuji tarikan dan kualitinya sebagai pejuang politik, terutama ketika beliau bertegas membantah perang ke atas Iraq, di Washington pada 2003.

    Namun, ada juga pihak yang mempertikaikan sumbangannya sepanjang berkhidmat, memandangkan kerjaya Chirac turut dicemari tuduhan rasuah, iaitu ketika menyandang jawatan Datuk Bandar Paris.

    Orang ramai berbaris di luar istana presiden untuk memberikan penghormatan terakhir kepada bekas presiden Perancis, Jacques Chirac yang meninggal dunia pada usia 86 tahun. – AFP

    Sementara itu, ratusan penduduk beratur dari kawasan halaman menuju ke istana presiden bagi menandatangani buku takziah di Istana Elysee.

    Istana Elysee dan ahli keluarga Chirac dalam satu pengumuman berkata, majlis penghormatan untuk orang awam akan diadakan pada Ahad ini di kompleks peringatan Invalides di Paris.

    Ia akan disusuli dengan tempoh berkabung sehari di seluruh negara pada Isnin ini, ketika upacara peringatan untuk mendiang diadakan di gereja Saint Sulpice di Saint-Germain-des-Pres di tengah Paris.

    Menantu Chirac, Frederic Salat-Baroux memaklumkan AFP, mendiang bekas perdana menteri, Datuk Bandar Paris dan presiden itu, akan dikebumikan di kawasan perkuburan Montparnasse dalam satu majlis tertutup.

    Mendiang yang meninggalkan isteri, Bernadette, 86, akan dikebumikan di sebelah kubur anak perempuannya, Laurence, yang meninggal dunia pada 2016. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda