Penghujung Lebaran terus disambut penuh meriah

Oleh Normazlina M.D & Hajah Saemah Kepli

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Bulan Syawal akan sampai ke penghujungnya dalam masa beberapa hari sahaja lagi, bagaimanapun, masih ramai yang mengadakan majlis-majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi mengambil kesempatan mengeratkan lagi silaturahim.

Baru-baru ini, Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam (PENJURU) juga telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dan isteri, Datin Dr Hajah Norhaslina binti Haji Ramlee.

Turut hadir ialah Yang Di-pertua PENJURU, Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah binti Abdullah, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif dan Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Dr Hajah Lailawati binti Haji Jumat.

Majlis diserikan dengan acara persembahan pentas oleh ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PENJURU, jururawat dari Kementerian Kesihatan, JPMC dan Pusat Perubatan Gleneagles JPMC, jururawat dan bidan dari IBTE dan persatuan TEMADA.

Menteri Kesihatan dan isteri bergambar ramai bersama ahli jawatankuasa yang terlibat menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PENJURU di Dewan Al-’Afiah baru-baru ini.
Keluarga besar Allahyarham Haji Mohd Daud bin Lian dan Allahyarhamah Hajah Jamaiah binti Tarip semasa pertemuan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Sungai Lalit, Seria.
Keluarga besar GAZ berkumpul dan menjalinkan ikatan silaturahim pada Majlis Sambutan Aidilfitri yang berlangsung di Kampung Sengkarai Tutong, baru-baru ini.
Gambar ramai ahli jawatankuasa Majlis Ramah Mesra Hari Raya MPK Kampung Mumong.

Selain itu, cabutan bertuah juga diadakan yang menawarkan hadiah-hadiah sumbangan pelbagai pihak bagi sama-sama memeriahkan lagi majlis berkenaan.

Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) cawangan Daerah Brunei dan Muara juga telah mengadakan Sambutan Hari Raya di PKWE, Kampung Perpindahan Lambak Kanan, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon yang juga selaku Penghulu Mukim Berakas B. Turut hadir ialah ketua Kampung Lambak Kanan Kawasan 3 dan ketua Kampung Lambak Kanan Kawasan 4.

PKWE turut memeriahkan penghujung Syawal dalam majlis yang diadakan di pusat tersebut di Kampung Perpindahan Lambak Kanan.
Antara persembahan yang memeriahkan Sambutan Lebaran PAKATAN.

Di Daerah Tutong, Persatuan Bekas Kakitangan Kerajaan Daerah Tutong (PAKATAN) telah mengadakan Majlis Ramah Mesra di Dewan Kemasyarakatan Kampung Serambangun, Tutong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain.

Turut hadir ialah Penasihat PAKATAN, Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Mohd Taha bin Abdul Rauf; Yang Di-Pertua PAKATAN, Dato Paduka Haji Ahmad bin Kadi berserta ahli-ahli jawatankuasa majlis dan ahli-ahli PAKATAN.

Majlis diselajurkan dengan penyampaian derma bagi tabung anak-anak yatim Daerah Tutong.

Persembahan nyanyian daripada ahli-ahli PAKATAN, cabutan bertuah, persembahan syair, pantun dan uji bakat muzik turut memeriahkan majlis.

Gambar ramai warga IBTE SBC yang sama-sama memeriahkan Lebaran.
Persembahan artis tempatan turut menceriakan lagi Sambutan Hari Raya SBC di dewan serba guna kampus tersebut.

Sementara itu, di Daerah Belait, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Bolkiah (SBC) juga memeriahkan hari-hari terakhir Syawal ini dengan Majlis Sambutan Hari Raya Tahun 2018 dengan memilih tema ‘Arabian’ yang diadakan di dewan serba guna kampus berkenaan di Seria, hari ini.

Majlis telah diceriakan lagi dengan berbagai-bagai persembahan oleh penuntut-penuntut SBC, termasuk persembahan nyanyian, tarian dan lakonan.

Selain itu, majlis turut dimeriahkan dengan pertandingan-pertandingan pakaian tercantik, cabutan bertuah dan menikmati hidangan juadah Hari Raya dan sebagainya.

Penampilan tiga orang artis tempatan Azim Ariffin, Dani Ahmad dan Abby Iskandar turut menceriakan lagi para pelajar dengan persembahan-persembahan beberapa buah lagu dan turut mempromosikan album mereka.

Lebih 500 orang pelajar SBC dan Kampus Jefri Bolkiah serta tenaga pengajar dan warga kampus menghadiri majlis tersebut.