Penghujung Syawal tetap meriah

Oleh Nurdiyanah R.

TUTONG, 10 JUN – Meskipun Syawal kini semakin hampir di penghujungnya, Sambutan Hari Raya Aidilfitri tetap disambut dengan penuh kemeriahan oleh pelbagai pihak di negara
ini.

Baru-baru ini, Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong, turut tidak ketinggalan untuk sama-sama menyemarakkan sambutan Hari Raya dengan mengadakan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bertempat di bangunan pusat berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang disertai oleh 90 ahli pusat berkenaan itu ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Umarali bin Esong dan Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit.

Pengurus PKWE Daerah Tutong, Haji Hammafi bin Haji Mohd Yassin melahirkan rasa kesyukuran di atas berlangsungnya sambutan tersebut yang ujarnya bertujuan untuk mengeratkan lagi jalinan silaturahim dalam kalangan ahli-ahlinya.

Di samping itu, dengan adanya acara tahunan sedemikian, ia secara tidak langsung dapat memupuk jiwa agar sentiasa menghargai segala nikmat yang diberikan Allah SWT kepada hamba-hambaNya meliputi rezeki kesihatan, wang ringgit bahkan juga hadirnya insan-insan di sekeliling mereka untuk sama-sama berusaha ke arah kebaikan dalam mengisi masa
persaraan.

Antara ahli PKWE Daerah Tutong merakamkan detik bergambar ramai bersama tetamu-tetamu kehormat semasa berakhirnya Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di bangunan pusat berkenaan, baru-baru ini. – Gambar serahan PKWE Daerah Tutong.