Penghulu, ketua kampung berperanan menjayakan Operasi Pulih

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung boleh memainkan peranan yang penting dalam memastikan penduduk-penduduk kampung dan mukim patuh dengan arahan-arahan yang dikeluarkan termasuk tidak meninggalkan tempat kediaman semasa Operasi Pulih, mengamalkan tanggungjawab sosial masing-masing dan tidak mengadakan majlis-majlis keramaian.

“Jadi banyak peranan yang boleh dimainkan oleh penghulu dan ketua kampung dalam memberikan maklumat-maklumat mengenai penduduk-penduduk kampung dan mukim mereka kepada pihak-pihak yang berkenaan.”

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Dr Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong ketika mengulas mengenai peranan penghulu dan ketua kampung dalam sama-sama menjayakan Operasi Pulih semasa Sidang Media mengenai situasi terkini jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan ‘Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menerangkan lanjut mengenai peranan itu, terdahulu mereka berperanan untuk mematai-matai penduduk-penduduk kampung dan mukim khususnya dalam waktu Operasi Pulih iaitu berada di kediaman masing-masing dari pukul 8 malam hingga 4 pagi di mana tugas itu kini diambil alih oleh Pasukan Polis Diraja Brunei.

Beliau turut menjelaskan bahawa Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui jabatan-jabatan daerah dan ketua kampung serta penghulu sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam membantu meningkatkan kadar vaksinasi di kampung-kampung dan mukim-mukim bagi penduduk-penduduk yang kelainan upaya, sakit dan juga warga emas.

Mereka akan mengumpulkan butiran maklumat warga-warga yang kelainan upaya, sakit dan warga emas untuk disampaikan kepada Kementerian Kesihatan.