Penghulu, ketua kampung nasihat penduduk ambil vaksin

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Para penghulu dan ketua-ketua kampung dengan pegawai daerah sedang bekerjasama dalam meningkatkan jumlah penduduk menerima suntikan vaksin.

Usaha itu dilaksanakan dengan penghulu dan ketua kampung berkunjung menemui penduduk-penduduk mukim dan kampung masing-masing, jelas Menteri Hal Ehwal
Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong ketika mengulas mengenai usaha yang dilaksanakan oleh ketua kampung dalam sama-sama menangani penularan wabak COVID-19 semasa sidang media harian yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Pehin seterusnya mengongsi bahawa baru-baru ini, satu inisiatif telah dibuat antara jabatan-jabatan daerah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dengan Kementerian Kesihatan supaya akan dapat memberikan suntikan vaksin kepada mereka yang kelainan upaya, warga emas atau mereka yang tidak dapat hadir ke pusat-pusat suntikan.

Beliau menerangkan bahawa pegawai daerah seperti pegawai Daerah Brunei dan Muara telah mengeluarkan maklumat kepada ketua-ketua kampung bagi mereka membuat senarai penduduk kelainan upaya, warga emas dan mereka yang tidak dapat hadir ke pusat vaksinasi.

Maklumat berkenaan, jelasnya lagi, akan dikumpulkan bagi melaksanakan satu langkah di mana penyuntikan vaksin dapat dibuat kepada warga-warga dalam kategori yang dikenal pasti itu.

Yang Berhormat Pehin berharap melalui usaha itu, ia dapat membantu warga emas, orang kelainan upaya dan mereka yang tidak dapat hadir ke pusat vaksinasi untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Di samping itu, beliau turut menjelaskan bahawa penghulu dan ketua-ketua kampung dari semasa ke semasa terus berusaha untuk mencari kaedah dalam menggalakkan penduduk kampung supaya hadir ke pusat-pusat vaksinasi.