Penghulu Mukim Tamoi imbau kenangan Hari Raya zaman dahulu

Oleh Sahama

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun –  Menjadi budaya orang-orang Brunei menjadikan adat  berkunjung dan ziarah-menziarahi sebagai satu keutamaan bagi saudara mara untuk bertandang ke rumah-rumah.

Peghulu Mukim Tamoi, Pengarah Haji Mokti bin Matsaleh sempat berkongsi mengenai suasana menyambut hari lebaran yang menurutnya agak jauh berbeza semasa zaman dahulu dan sekarang.

Beliau yang merupakan penduduk asal Kampong Ujong Tanjong berkata, suasana menyambut Hari Raya di Kampong Ayer pada zaman muda beliau jauh bezanya dengan suasana Hari Raya zaman sekarang.

“Zaman dahulu tidak ada istilah ‘rumah terbuka’. Minuman yang dihidangkan pada masa dahulu hanyalah kopi atau teh sementara kuih-muih seperti kuih bahulu, kuih cincin, kuih sapit, kuih cacah dan sebagainya menjadi hidangan utama.

“Para tetamu akan duduk di atas tikar mengkuang dan lampit sambil menikmati hidangan yang disediakan oleh tuan rumah,” katanya.

Dilahirkan pada 14 Ogos 1930, Pe-ngarah Haji Mokti dilantik menjadi Ketua Kampong Tamoi Tengah dan Tamoi Ujong pada tahun 1975 kemudian dilantik sebagai penghulu hingga sekarang.

Penghulu Mukim Tamoi bergambar ramai bersama tetamu sebagai kenang-kenangan.
Penghulu Mukim Tamoi bergambar ramai bersama tetamu sebagai kenang-kenangan.

Menurut beliau lagi, semasa Hari Raya, kadang-kadang para tetamu dijamu dengan hidangan set ambuyat dan cacah binjai serta tempoyak dan ditambah lagi dengan masakan seperti dadah tahai (ikan tamban salai rebus), udang rebus dan daging masak kunyit menjadi pelengkap hidangan.

Ambulong tersebut hasil sumber dari Tutong, Lawas, Trusan dan Limbang, Sarawak, jelas beliau.

Beliau juga aktif melibatkan diri dalam fotografi semenjak usia belasan tahun bermula dengan gambar hitam putih  hingga kini.

Hari Raya yang disambut tetap meriah kerana konsep yang diterapkan pada zaman dahulu ialah mengeratkan silaturahim sesama saudara mara terutama saudara yang jauh supaya anak cucu keturunan tahu akan susur galur hubungan persaudaraan tersebut.