Penghuni di pusat pengasingan turut dipeduli

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Setakat ini, terdapat lapan buah pusat pemantauan yang masih aktif di mana seramai 211 orang masih menjalani tempoh pengasingan, terdiri daripada 50 orang penduduk tempatan, 28 orang penduduk tetap, 133 orang warga asing yang mana 28 orang daripadanya adalah pelajar yang pulang dari luar negara.

Bagi memastikan kesejahteraan dan keselesaan para petugas di pusat-pusat pemantauan dan segala kemudahan yang disediakan adalah mencukupi, beberapa lawatan ke pusat-pusat tersebut telah dijalankan dengan diketuai oleh Setiausaha Tetap (Keselamatan,

Kesejahteraan dan Undang-undang) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud.

Antara pusat-pusat pemantauan yang dilawati ialah Hotel Antarabangsa Rizqun dan Hotel Parkview.

Semasa lawatan tersebut, Awang Mohd Amir Hairil berpeluang berjumpa dan bertukar-tukar pandangan dengan para petugas barisan hadapan sebelum membuat perbincangan dengan agensi-agensi yang bertugas.

Awang Mohd Amir Hairil ketika membuat lawatan ke salah sebuah pusat pemantauan. – Gambar oleh Rahwani Zahari

Beliau juga diberikan taklimat ringkas oleh pihak sekretariat yang menjelaskan bahawa setiap pusat pemantauan disediakan bilik khas untuk kegunaan mereka menjalani operasi pemantauan.

Setakat ini, seramai 78 orang petugas bekerja secara bergilir-gilir dan mereka terdiri daripada warga Kementerian Kesihatan, anggota Pasukan Polis Diraja Brunei dan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta para sukarelawan dari Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Mereka turut disokong oleh agensi-agensi lain seperti Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan Kementerian Pendidikan, yang menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan bantuan dalam melaksanakan tugas-tugas sekretariat di pusat-pusat pemantauan.

Semasa lawatan itu, Awang Mohd Amir Hairil turut menyaksikan penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri daripada Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) kepada penghuni beragama Islam yang masih menjalani pengasingan diri dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sumbangan disampaikan oleh Pemangku Pengarah NDMC, Awang Shahrin bin Haji Mohd Jawie.
Sambutan Hari Raya tersebut diadakan bertujuan bagi menghidupkan lagi keceriaan Hari Raya terutama bagi penghuni-penghuni yang berada dalam suasana pengasingan diri.

Demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan awam, pek-pek raya telah disampaikan dengan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan dengan mengamalkan penjarakan sosial dan fizikal yang disaksikan sendiri oleh tetamu kehormat.

KHEDN, melalui NDMC akan sentiasa memberikan kerjasama kepada Kementerian Kesihatan dalam menghulurkan bantuan koordinasi, perkhidmatan yang bukan berkaitan perubatan sepanjang pandemik COVID-19 bagi memantapkan lagi pendekatan Whole of Nation.