Penghuni, jiran padam kebakaran bilik tamu

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Tindakan pantas penghuni rumah dan jiran berdekatan berjaya untuk memadamkan kebakaran sebahagian bilik tamu dalam kejadian kebakaran di kawasan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati, Kampung Rimba pada 8 Ogos lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, sembilan anggota dari Balai Bomba Rimba yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi C, SSFR Pengiran Azizul Rahman bin Pengiran Haji Yusop dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 5:56 petang.

Kenyataan menyatakan bahawa apabila tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati asap tebal di dalam rumah jenis dua tingkat yang diperbuat keseluruhan dengan konkrit dan beratapkan spandik.

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa api telah pun dapat dipadamkan oleh penghuni rumah dan jiran berdekatan dengan menggunakan air paip melalui hos getah dan baldi secara berangkut-angkut sebelum jentera bomba sampai yang melibatkan sebahagian bilik tamu.

Anggota bomba dan penyelamat bertindak menggunakan dua aliran dan memakai alat pernafasan bagi memadamkan kebakaran di dalam rumah di mana air diperoleh daripada jentera bomba dan pili-pili bomba yang berdekatan.

Empat orang penghuni rumah berkenaan telah pun keluar dan dalam keadaan selamat serta tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Punca serta kerugian daripada kejadian berkenaan masih dalam siasatan.

JBP menyarankan orang ramai untuk memastikan kediaman mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan iaitu alat pemadam api ringan jenis debu kering 4 kilogram dan selimut api, memastikan untuk menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah, jangan sesekali meninggalkan masakan di dapur tanpa diawasi dan jika terdapat kebocoran pada gas untuk memastikan membuka jendela dan pintu bagi pengudaraan serta untuk memastikan mengikut piawaian yang betul dan syarikat yang diiktiraf jika hendak menggantikan atau memasang mana-mana kabel atau pun wayar elektrik di rumah mereka.

Ruang bilik tamu rumah dua tingkat yang terlibat dalam kejadian kebakaran di kawasan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Rimba pada 8 Ogos lalu. – Gambar serahan JBP