Penghuni penjara China sasaran COVID-19

BEIJING, 21 FEB – Kes wabak koronavirus (COVID-19) dikesan menjangkiti mereka yang berada di dalam penjara seluruh China hari ini.

Jumlah yang dijangkiti COVID-19 di seluruh China kini seramai 75,465 orang, dengan kematian membabitkan 2,236 pesakit.

Ia menimbulkan kebimbangan berhubung kelompok baharu wabak itu. Suruhanjaya Kesihatan Wilayah dalam kenyataannya berkata tujuh pegawal keselamatan dan 200 penghuni Penjara Rencheng di wilayah timur Shandong disahkan positif COVID-19.

Berikutan itu, Ketua Bahagian Keadilan Shandong, Xie Weijun dipecat bersama dua pegawai pentadbiran dan lima pegawai penjara.

Pengarah Pentadbiran Penjara Shandong, Wu Lei berkata kes baharu itu menunjukkan pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan mereka tidak berkesan.

Seorang lelaki keluar dari sebuah hospital di mana mangsa COVID-19 dirawat di Beijing. COVID-19 kini dikesan menjangkiti mereka yang berada di dalam penjara di seluruh China. – AFP

Sementara itu, 34 kes COVID-19 ditemui di Penjara Shilifeng di wilayah Zhejiang timur yang menyebabkan pemecatan pengarah dan pegawainya.

Pegawai Kesihatan Shandong berkata, sebuah hospital di Jining dijadikan sebagai tempat untuk merawat virus dan memperuntukkan kemudahan di dalam penjara untuk rawatan.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Hubei, majoriti kematian itu adalah di Wuhan, di mana virus itu mucul pertama kali pada Disember tahun lalu.

Mereka melaporkan bahawa terdapat 411 kes baharu dengan 319 di Wuhan manakala selebihnya tersebar di beberapa bandar lain.

Sementara di Daegu, Korea Selatan mengesahkan terdapat 52 kes COVID-19 yang menjadikan jumlah semua sebanyak 156 kes. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea berkata sebanyak 39 kes COVID-19 adalah membabitkan anggota Gereja Shincheonji, Daegu.

Sehingga kini 80 anggotanya dijangkiti wabak itu, bermula dengan wanita berusia 61 tahun yang mengalami demam pada 10 Februari lalu.

Wanita itu dikatakan hadir ke gereja sebanyak empat kali sebelum dikesan mengidap COVID-19. – AFP