KUALA BERANG – Enam sekeluarga yang kini tinggal di sebuah rumah bot yang rosak di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu berharap, pandemik COVID-19 ini akan segera berakhir kerana mahu kembali menikmati kehidupan seperti sediakala.
Shamsuddin Khalid, 45, berkata, beliau tidak sabar menunggu industri pelancongan dapat beroperasi semula seperti biasa, kerana mahu membaiki rumah bot miliknya itu secepat mungkin.
“Saya tinggal di rumah bot ini sejak dua tahun lalu bersama isteri Nor Farhana Yusop, 30, dan empat anak kami iaitu Nor Nadia Shahira, 11; Nor Syazlina Farahin, 9; Nor Azura Natasha, 7, dan Nor Farhan Iskandar yang berusia lapan bulan.
“Rumah bot ini saya beli sembilan tahun lalu pada harga RM15,000, untuk jalankan perniagaan pakej pelancongan ke Tasik Kenyir. Semuanya berjalan lancar sehinggalah rumah bot ini rosak pada awal Mac tahun lepas, dan saya tidak cukup wang untuk membaikinya,” katanya ketika ditemui pemberita di Tasik Kenyir di sini.
Sebelum ini, enam sekeluarga itu tinggal di sebuah rumah rakit di pinggir Tasik Kenyir selama 10 tahun, namun terpaksa berpindah ke rumah bot tersebut kerana rumah rakit itu semakin uzur dan hampir tenggelam.
Shamsuddin berkata, beliau ada menerima bantuan RM5,000 daripada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) untuk membaiki rumah bot itu, namun ia masih belum mencukupi kerana kerosakan yang terlalu banyak.
“Untuk sara keluarga, saya ambil upah memandu rumah bot milik pengusaha lain, namun masalah semakin getir apabila pandemik COVID-19 melanda, kerana Tasik Kenyir tidak lagi menerima kehadiran pelancong dan menyebabkan pendapatan terjejas teruk.
“Namun, saya bersyukur kerana sentiasa mendapat bantuan dari adik-beradik dan kawan-kawan, yang sudi menghulur bantuan sekiranya memerlukan,” katanya.
Ditanya kenapa memilih untuk tinggal di rumah rakit itu berbanding tinggal di rumah biasa di atas tanah seperti orang lain, Shamsuddin berkata, ia bagi membolehkannya memantau keselamatan keluarga dengan lebih mudah.
“Sebagai pengusaha rumah bot, banyak masa saya dihabiskan di Tasik Kenyir untuk membawa pelancong bersiar-siar dan memancing di sini. Lagipun saya ada dua bot fiber, jadi mudah untuk saya ulang-alik tengok anak isteri di rumah rakit pada bila-bila masa, berbanding jika kami tinggal di darat.
“Namun, saya tetap mengambil berat pendidikan anak, dan tiga daripada mereka belajar di Sekolah Kebangsaan Padang Setebu di Kampung Basung yang terletak 10 kilometer dari sini, dan kami akan ke darat sekiranya ada hal yang mustahak,” katanya.
Sementara itu Nor Farhana berkata, beliau sudah lali dengan kehidupan mencabar di rumah rakit dan rumah bot yang rosak itu, namun agak risau dengan keselamatan anak-anaknya.
“Ada ular, ada kera yang menyelongkar dapur ketika tiada orang di rumah… anak-anak pun pernah terjatuh ke dalam air ketika leka bermain, namun sempat diselamatkan dan kesemua mereka juga tahu berenang.
“Ada juga impian untuk berpindah rumah ke darat, demi anak-anak yang mahukan kehidupan sama seperti rakan sebaya mereka yang lain. Suami ada mohon dengan kerajaan untuk bantuan rumah itu, dan kami berharap ia diluluskan nanti,” katanya mengakui kehidupan mereka dalam makluman pihak bertanggungjawab dan sedang dalam proses diberi bantuan sewajarnya. – Bernama