Penghuni selamat, 2 rumah roboh di Kg Ayer

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 DIS – Dua buah rumah ranap dalam insiden rumah roboh namun penghuninya tidak mengalami sebarang kecederaan ketika kejadian di Kampong Ayer petang kelmarin.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, empat orang anggota JBP dari Balai Bomba Pelancaran diketuai oleh ABK 536 Haji Asri bin Haji Apong dikejarkan ke tempat kejadian di Kampung Pandai Besi ‘A’ pada jam 5:15 petang.

Ketika tiba di tempat kejadian, anggota JBP mendapati dua buah rumah diperbuat daripada kayu dan bertiangkan konkrit telah roboh keseluruhannya.

Kesemua penghuni dalam keadaan selamat dan tidak mendapat kecederaan.

Anggota JBP bertindak mengeluarkan harta benda pemilik rumah dan memasang fire line.

Sehubungan itu, JBP menasihatkan orang ramai agar memastikan kediaman mereka selamat dengan membuat pemeriksaan pada struktur rumah bagi mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini.

Orang ramai juga menghubungi talian kecemasan 995 jika berlaku sebarang kecemasan, dengan memberikan maklumat yang tepat.

Dua buah rumah yang roboh dalam kejadian rumah roboh di Kampung Pandai Besi ‘A’ pada petang, kelmarin.
Keadaan salah sebuah rumah yang roboh dan condong ke dalam air.