Penghuni selamat, rumah dijilat api

Oleh Sim Y.H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Sebuah rumah dua tingkat yang diperbuat daripada konkrit telah dijilat api dalam kejadian yang berlaku di kawasan Kampung Perpindahan Lambak Kanan pada pukul 8:48 pagi tadi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), hari ini, seramai 12 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Lambak Kanan yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘C’, SSFR Pengiran Azizul Rahman bin Pengiran Haji Yusop bersama lori tangki air dari Balai Bomba Beribi telah dikejarkan ke tempat kejadian.

Sebaik anggota tiba, api besar telah membakar sebahagian rumah yang melibatkan sebuah bilik tidur, bilik makan, dapur dan stor di tingkat bawah.

Anggota bomba yang dilengkapi alat pernafasan bertindak masuk ke dalam rumah dan memadam kebakaran dengan mengeluarkan empat batang hos dan menggunakan control dividing breeching dua aliran.

Air diperolehi daripada pili-pili bomba dan relay ke jentera bomba dengan api dapat dikawal dalam masa enam minit.

Pemilik rumah merupakan seorang lelaki Melayu warga tempatan bersama tujuh penghuni, manakala rumah tambahan disewakan kepada tiga warganegara Indonesia. Tidak ada korban jiwa dilaporkan serta punca dan kerugian masih dalam penyiasatan.

JBP dalam kenyataannya turut menyarankan orang ramai supaya memastikan kediaman mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan iaitu alat pemadam api dan selimut api serta memastikan suis peralatan elektrik ditutup selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah, jangan meninggalkan masakan di dapur tanpa diawasi dan jika terdapat kebocoran pada gas hendaklah membuka jendela dan pintu bagi pengudaraan.

Selain itu, pilih syarikat yang diiktiraf jika hendak menggantikan atau memasang mana-mana kabel atau pun wayar elektrik di rumah mengikut piawaian yang betul dan tidak menggunakan peralatan elektrik yang boleh menyebabkan beban berlebihan (overload).

Jika berlaku sebarang insiden kecemasan hubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Sebahagian bilik tingkat bawah yang musnah dijilat api.