Penghutanan semula untuk serap karbon

Oleh Azlan Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Walaupun Negara Brunei Darussalam bukanlah penyumbang yang signifikan kepada pelepasan gas rumah hijau global (GHG), bagaimanapun, negara ini masih mengalami kesan buruk daripada perubahan iklim akibat pelepasan GHG, seperti kenaikan suhu dan peningkatan jumlah kebakaran hutan dalam dekad yang lalu.

“Negara Brunei Darussalam dikurniakan hutan yang luas dan kaya dengan biologi. Dengan 72.1 peratus dilitupi hutan, negara ini mampu menyerap sebahagian besar pelepasan gas rumah hijau kebangsaannya.”

Perkara ini diketengahkan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab ketika melancarkan bengkel Pasukan Petugas Dokumen Operasi bagi Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP) hari ini untuk membincangkan mengenai Liputan Hutan Strategi 2 BNCCP.

Walau bagaimanapun, KSSUP melalui Jabatan Perhutanan berhasrat untuk meningkatkan lagi kemampuan penyerapan karbon negara dengan menanam pokok baharu dan menggunakan platform ini untuk mendorong penyertaan daripada pihak berkepentingan dan masyarakat.

Turut hadir dalam bengkel tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari, yang juga merupakan pengasas bersama Green Brunei.

Bengkel ini bertujuan untuk merumuskan Dokumen Operasi untuk Strategi 2 BNCCP mengenai Liputan Hutan untuk mencapai sasaran peningkatan penyerapan karbon Negara Brunei Darussalam melalui penanaman hutan dan penghutanan semula dengan sasaran penanaman 500,000 pokok baharu menjelang tahun 2035.

Bengkel diadakan selama dua hari bermula hari ini di Dewan Setia Pahlawan itu dianjurkan oleh KSSUP melalui Jabatan Perhutanan sebagai agensi utama BNCCP Strategi 2 mengenai Liputan Hutan dan disokong oleh Sekretariat Perubahan Iklim Brunei (BCCS).

Bengkel tersebut dikendalikan bersama oleh ketua agensi dan fasilitator dari Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd.

Hajah Tutiaty ketika menyentuh mengenai perkara itu pada bengkel tersebut.