Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penghutang dimalukan secara terbuka di China

    PIHAK berkuasa di daerah Hejiang, wilayah Sichuan China, telah menghasilkan satu kaedah yang berkontroversi untuk meyakinkan peminjam agar membayar hutang-hutang mereka, dengan memaparkan klip video pendek wajah dan nama mereka sebelum tayangan filem utama dimulakan di pawagam.

    Disebut sebagai ‘Reel of Shame’, klip video itu memaparkan watak animasi yang memberitahu penonton “Cuba lihat pada semua ‘laolai’ ini,” sebelum memaparkan muka, nama dan butiran lanjut peminjam pada skrin besar. Istilah penghinaan ‘laolai’ ini merujuk kepada peminjam yang gagal membayar hutang mereka tepat pada waktunya. Untuk memaksimumkan keberkesanan teknik ini, pihak berkuasa telah memaparkan wajah-wajah peminjam di panggung wayang di kawasan setempat mereka.

    “Memberi rasa malu secara awam telah menjadi taktik yang semakin umum untuk menghukum ‘laolai’, bersama dengan kesan lain kerana gagal membayar balik pinjaman, termasuk penyenaraian hitam dan sekatan perjalanan,” kata pengarah penguatkuasaan keadilan Hejiang, Li Qiang, kepada laman web China, The Cover. “Bagi penonton-penonton yang ada di dalam pawagam, kami secara khusus memilih untuk mendedahkan nama-nama penghutang yang berada di kawasan setempat agar ianya lebih ditumpukan atau disasarkan di mana hasilnya akan lebih berkesan.”

    Satu video ‘Reel of Shame’ yang telah dimainkan di pawagam Hejiang baru-baru ini telah menjadi tular dalam platform Weibo. Ia jelas menunjukkan wajah dan nama-nama bagi 26 orang ahli eksekutif perniagaan yang gagal membayar pinjaman mereka walaupun perintah mahkamah tempatan menuntut mereka untuk membayarnya.

    Menariknya, ‘Reel of Shame’ adalah salah satu daripada beberapa kaedah ‘memalukan secara umum’ yang digunakan di China. Tahun lalu, pihak kerajaan itu telah melancarkan sistem nasional yang membolehkan nama peminjam, nombor kad pengenalan, gambar, alamat rumah dan jumlah yang perlu dibayar agar dapat dipaparkan dan disebarkan kepada khalayak ramai melalui pelbagai saluran sebagai satu cara untuk memaksa mereka membayar hutang-hutang mereka.

    Beberapa bandar raya turut meletakkan gambar dan maklumat peminjam pada papan iklan, skrin elektronik dan juga di bas-bas, sementara wilayah-wilayah seperti Jiangsu, Henan dan Sichuan telah bekerjasama dengan syarikat telekom untuk menghasilkan mesej pra-rakaman mengenai hutang-hutang mereka apabila seseorang itu menjadi pesalah.

    Memalukan secara terbuka juga telah digunakan oleh syarikat utiliti awam di Rusia, yang baru-baru ini telah memasang ‘Piramid Hutang’ di hadapan rumah penghutang terbesarnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda