Pengiktirafan jadi motivasi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Seramai 73 orang pelajar yang cemerlang dalam pelbagai kategori diraikan dalam Majlis Anugerah Pencapaian Akademik 2019 Pusat Tingkatan Enam Meragang (PTEM) yang berlangsung di Dewan Serba Guna, PTEM, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian anugerah kepada para pelajar yang diraikan ialah Ketua Kluster 4, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Sarifah binti Haji Matsawali.

Pemangku Pengetua PTEM, Ricky Chong Meng Ho dalam kata alu-aluannya menyatakan tahniah kepada para pelajar atas keputusan cemerlang mereka serta berharap mereka akan terus bekerja keras bagi meraih kejayaan dalam pengajian tinggi dan kerjaya akan datang.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada guru-guru, ibu bapa dan penjaga yang sama-sama berganding bahu menyokong serta bekerjasama dalam memastikan pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar.

Pada majlis itu, Hajah Sarifah menyampaikan anugerah kepada seramai 79 penerima dalam enam kategori yang didahului oleh sembilan orang penerima Anugerah Keputusan Cemerlang dalam BC-GCE ‘A’ Level diikuti dengan 63 orang penerima bagi Anugerah Pencapaian Terbaik dalam BC-GCE ‘A’ Level bagi Mata Tarif, 20 orang penerima Anugerah Pelajar Terbaik dalam Mata Pelajaran Individu, empat orang penerima Anugerah Pelajar Paling Banyak Meningkat, tiga orang penerima Anugerah Kedatangan Terbaik dan Anugerah Pencapaian Khas.

Majlis itu merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh PTEM untuk menunjukkan penghargaan dan memberikan pengiktirafan kepada pelajar-pelajar dengan pencapaian akademik terbaik.

Di samping untuk meraikan pencapaian para pelajar berkenaan, majlis itu dihasratkan untuk memberikan peluang kepada ibu bapa dan penjaga para pelajar yang dijemput untuk sama-sama meraikan pencapaian anak-anak mereka, memberikan galakan dan motivasi kepada para pelajar yang akan menduduki peperiksaan untuk terus belajar dengan tekun serta untuk menghargai segala sumbangan yang telah diberikan oleh para pelajar kepada sekolah berkenaan.

Tetamu kehormat ketika menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar cemerlang yang diraikan di majlis berkenaan.