TAIPEI, 25 SEPT — Pihak berkuasa Taiwan mengenakan denda sebanyak AS$75,000 kepada pengilang bola golf hari ini dan memberi amaran tentang tuduhan jenayah kerana menyimpan 30 kali ganda had undang-undang bahan berbahaya dan pelanggaran lain selepas kebakaran besar di kilang itu meragut nyawa sembilan orang dan menyebabkan seorang lagi hilang.
Datuk Bandar Daerah Pingtung, Chou Chun-mi berkata dalam sidang akhbar bahawa Launch Technologies Co memiliki 3,000 tan organik peroksida di tapak tersebut, jauh lebih banyak daripada 100 tan bahan berbahaya yang dibenarkan, lapor agensi berita pusat Taiwan.
“Mereka yang bertanggungjawab akan dikenakan tindakan atas pengabaian awam dan pembunuhan kerana kecuaian,” katanya.
Pegawai syarikat tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan maklum balas.
Tidak jelas punca kebakaran Jumaat lalu, tetapi dua letupan dalam bangunan yang sudah terbakar itu memerangkap anggota bomba dan pekerja di bawah runtuhan. Empat anggota bomba adalah antara sembilan yang maut. Lebih 100 orang lagi cedera.
Organik peroksida, yang mudah terbakar, digunakan dalam pelbagai produk getah termasuk teras bola golf.
Undang-undang Taiwan menghendaki organik peroksida disimpan di dalam bangunan gudang yang berasingan, tetapi Launch Technologies menyimpan bahan itu di tingkat satu bangunan kilang, kata Chou.
Denda yang lebih besar dikenakan atas kelewatan 20 minit dalam melaporkan kebakaran, gagal melantik individu bagi membantu komander bomba dan gagal memberikan inventori lengkap organik peroksida di lokasi apabila bomba tiba, katanya. – AP
