Pengimbas haba canggih di Terminal Feri Labuan

LABUAN, 19 FEB – Jabatan Kesihatan Labuan hari ini memasang sebuah pengimbas haba di pintu masuk utama Terminal Feri Antarabangsa Labuan untuk mengesan penumpang yang mempunyai simptom COVID-19 atau sebarang penyakit berjangkit.

Pengimbas berteknologi canggih itu mampu mengesan sejauh 20 meter, merekod dan menghasilkan analisis dan imej corak suhu permukaan kulit (haba badan/radang) sebagai gambaran fisiologi manusia yang normal atau tidak.

Pengarahnya, Dr Ismuni Bohari berkata terminal itu dipilih kerana peranannya sebagai pintu masuk utama pelepasan pelawat tempatan dan luar negara dari Kota Kinabalu dan Brunei.

“Kami secara rasminya menggunakannya hari ini bukan hanya untuk mengesan penumpang dengan simptom COVID-19 tetapi penyakit berjangkit yang lain.

Mesin ini sebagai sokongan kepada staf perubatan kami untuk menjalankan saringan dengan lebih berkesan selain daripada mengurangkan risiko,” katanya kepada pemberita selepas pemasangan pengimbas berkenaan di terminal itu hari ini. Sebelum ini, kakitangan Jabatan Kesihatan menggunakan pengimbas termometer bergerak di terminal feri itu dalam melakukan saringan ke atas penumpang. – Bernama

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari menunjukkan pengimbas haba di pintu masuk utama Terminal Feri Antarabangsa Labuan. – Bernama