Pengimport mentega kacang JIF diminta tarik balik produk

KUALA LUMPUR, 30 MEI – Kementerian Kesihatan (KKM) telah meminta syarikat yang mengimport produk mentega kacang berjenama ‘Jif’, untuk menarik balik produk itu daripada pasaran.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia berdasarkan semakan yang dilakukan KKM ke atas data Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM), yang mendapati produk berkenaan telah diimport ke negara ini.

Beliau berkata KKM mengambil maklum berhubung isu penarikan balik produk itu dari pasaran Amerika Syarikat, kerana dikhuatiri tercemar dengan bakteria Salmonella melalui notifikasi yang diterima dari ‘International Food Safety Authorities Networks’ (INFOSAN).

“Notifikasi tersebut menyatakan Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (USFDA) telah mengarahkan produk mentega kacang berjenama Jif, dengan nombor kumpulan di antara 1274425 hingga 2140425 iaitu hanya melibatkan tiga digit terakhir 425 ditarik balik, kerana telah tercemar dengan bakteria Salmonella.

“Produk mentega kacang tersebut telah diedarkan ke beberapa negara seperti Kanada, Thailand, Honduras, Sepanyol, Jepun, Korea, Taiwan, Singapura dan termasuk Malaysia,”

Salmonella merupakan sejenis bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan sekiranya terdapat dalam makanan seperti daging, ayam, telur, buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan yang telah diproses, jika aspek kebersihan diabaikan atau makanan tidak diproses dengan sempurna. – Bernama