Pengiran Redzaini catat rekod perjalanan solo motosikal

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Seorang penunggang motosikal tempatan telah memecahkan rekod menunggang motosikal solo pertama dari hujung Sarawak ke hujung Sabah melalui Lebuhraya Pan Borneo dalam tempoh 22 jam.

Dalam Saddle Solo Ride 2020 itu, Pengiran Haji Redzaini bin Pengiran Haji Ahmad memulakan jelajah di Teluk Melano, Sarawak pada 1 Mac lalu, pukul 12:01 tengah malam melalui Lebuhraya Pan Borneo menuju ke hujung Borneo di Kudat Sabah dan tiba di sana pada jam 10 malam, meliputi jarak keseluruhan 1,600km.

Ekspedisi yang memakan masa empat hari itu bermula pada 29 Februari lalu dari Brunei menuju ke Teluk Melano, Sarawak.

Pengiran Haji Redzaini memulakan cabarannya membuat perjalanan solo tanpa henti dari ‘ekor’ Borneo di Teluk Melano ke hujung Borneo di Kudat, Sabah dalam tempoh 24 jam.

Dari Kudat, beliau kemudiannya kembali ke Brunei melalui Kota Kinabalu, dan tiba di tanah air pada hari ini dan diraikan di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di ibu negara.

Pengiran Mohammad Amirrizal menyampaikan cenderahati kepada Pengiran Haji Redzaini di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud ketika meraikan ketibaan Pengiran Haji Redzaini bin Pengiran Haji Ahmad di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di ibu negara yang berjaya menamatkan misi catatan rekod menunggang motosikal solo pertama dari hujung Sarawak ke hujung Sabah melalui Lebuhraya Pan Borneo dalam ekspedisi ‘Saddle Solo Ride 2020’ dengan meliputi jarak perjalanan keseluruhan kira-kira 1,600km.

Hadir selaku tetamu kehormat menyambut kepulangan Pengiran Haji Redzaini ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Pengiran Haji Redzaini merupakan seorang yang tidak asing dengan aktiviti menunggang motosikal jarak jauh kerana beliau sangat aktif mengambil bahagian dalam festival bermotosikal serantau dan antarabangsa selaku presiden Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA).

Semasa ditemu bual, beliau berkata, “Alhamdulillah, cuaca memihak kepada saya dan saya dapat melengkapkan perjalanan tanpa sebarang masalah yang serius.

“Terima kasih kepada semua yang telah berdoa untuk perjalanan saya selamat. Ini telah menjadi percubaan menunggang motosikal saya yang paling sukar buat selama ini. Saya berasa sangat diberkati mempunyai banyak sokongan sepanjang perjalanan,” ujarnya.

Selain percubaan untuk memecahkan rekod tersebut, Pengiran Haji Redzaini turut mempromosikan 21st Borneo Island International Big Bike Festival 2020 yang akan diadakan di Brunei Darussalam pada 26 hingga 28 Jun depan nanti di Kuala Belait.