Pengkritik Kremlin Navalny ditahan 30 hari

MOSCOW, 19 JAN – Mahkamah Rusia semalam memerintahkan pemimpin pembangkang terkemuka, Alexei Navalny ditahan sehingga 15 Februari, dalam perbicaraan yang diatur selepas penangkapannya, kata pembantu.

Peguam Navalny, VadimKobzev, berkata dari ruang mahkamah sementara di sebuah balai polis memberitahu bahawa mahkamah telah memutuskan supaya Navalny ditahan selama 30 hari dari hari penangkapannya Ahad lalu.

Akaun Twitter peribadi Navalny juga mengumumkan keputusan itu seperti beberapa sekutu utamanya yang menganggap keputusan itu sebagai lelucon.

“Mereka menahannya di sempadan, membawanya ke tempat-tempat yang tidak diketahui, peguamnya tidak diberi akses, perbicaraan dilakukan segera di balai polis dan dia ditahan selama 30 hari,” kata jurucakap Navalny, Kira Yarmysh.

“Malah, ini tidak boleh disebut sebagai parodi undang-undang.”

Ruang perbicaraan diwujudkan di sebuah balai polis di Khimki di pinggir Moscow, di mana Navalny ditangkap secara dramatik di lapangan terbang yang mendorong kecaman dari Barat dan meminta beliau dibebaskan segera.

Polis menangkap Navalny, musuh paling sengit Presiden Vladimir Putin, di pos kawalan sempadan di lapangan terbang Sheremetyevo di Moscow, kurang sejam selepas beliau kembali ke Rusia dari Jerman untuk pertama kalinya sejak diracun dengan agen saraf pada bulan Ogos. – AFP

Pemimpin pembangkang Alexei Navalny diiringi keluar dari balai polis di Khimki, luar Moscow, selepas keputusan mahkamah yang mengarahnya dipenjarakan selama 30 hari. – AFP