‘Pengorbanan Abdul Bari tidak terbalas’

KUALA TERENGGANU, 10 Feb – Kesungguhan dan kegigihan Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, menyelamat bukan sahaja bagaikan memberi ‘nyawa baharu’ tetapi budi yang tidak akan terbalas selamanya.

Nordiana Alwani Jaafar, 33, seorang daripada mangsa kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke dalam sungai di Pulau Warisan, di sini Jumaat lepas berkata arwah adalah orang pertama yang muncul untuk menyelamat. Nordiana Alwani berkata beliau masih teringat-ingat bagaimana reaksi Allahyarham di dalam air yang bagaikan memberi semangat supaya menyelamatkan diri.

“Paling tidak dapat dilupakan tindakan pantas menyelamatkan anak saya yang berusia tiga tahun,” katanya.

Selain beliau, ibu tirinya, Suryati Rosli, 37, adik ibu tirinya, Asmaa Rusly, 23, anaknya, Iman Nur Hana Luthfia Mohd Amiruddin, 3, dan adiknya, Safawani Jaafar, 11, berada di dalam kenderaan tersebut dan tiga daripada mereka berjaya diselamatkan oleh Allahyarham.

Menceritakan kejadian tersebut, Nordiana Alwani berkata ketika itu apa yang difikirkannya hanyalah mati namun kehadiran Abdul Bari Asyraf menaikkan semangatnya dan perkara pertama yang dilakukan adalah menyerahkan anaknya yang berusia tiga tahun kepada arwah.

Katanya ketika kejadian itu, arwah dilihat kepenatan tetapi tetap gigih meskipun berulang kali terjun ke sungai terutama apabila melihat orang awam lain yang turut sama menyelamat sudah mengalami kekejangan otot. Nordiana Alwani turut menemui keluarga arwah hingga menarik perhatian orang awam apabila dilihat menangis sambil memeluk keluarga terdekat arwah dan mengucapkan permohonan maaf serta terima kasih berkali-kali. – Bernama