Wednesday, April 17, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Pengorbanan ayah beri inspirasi buka warung

    CYBERJAYA – Mengimbau kegigihan ayahnya yang mengharungi kesukaran hidup dahulu bekerja sebagai tukang masak hingga membuka kedai makan untuk memberi kesenangan kepada keluarga, memberi inspirasi kepada Roshamimi Mohammad untuk membuka Warung Che Mat Fu.

    Terletak di Cyber 10, Cyberjaya, kedai makan itu menyajikan menu terkenal di kedai ayahnya yang diusahakan di Jalan Gajah Mati, Kelantan sejak 1985,  antaranya hainanese chicken chop, mee hailam dan air lada (sos).

    Roshamimi, 48, berkata ibunya sering menceritakan kisah kesukaran hidup mereka dahulu hingga tidak mampu membeli susu tepung tetapi diberikan teh dalam botol susu, namun kerja keras ayahnya Mohammad @Fu Say Bok kemudiannya membawa kesenangan kepada lima anaknya.

    “Usaha ayah yang mulanya bekerja sebagai tukang masak hingga berjaya membuka kedai makan sendiri itu membawa kesenangan kepada keluarga. Semangat itu amat kami kagumi,” katanya yang merupakan anak ketiga kepada Bernama baru-baru ini.

    Roshamimi yang lebih mesra dengan panggilan Mimie berkata Warung Che Mat Fu yang dibuka pada awal Februari lepas adalah bagi memperingati pengorbanan ayahnya yang merupakan seorang mualaf Cina serta memberi semangat kepada generasi muda bahawa kegigihan boleh membawa kejayaan.

    Pemilik warung, Roshamimi Mohammad (dua, kiri) bersama suami, Mohd Khalikuzaman Mufti dan anak-anaknya duduk bersama membincangkan perancangan kedai makan ‘Warung Che Mat Fu’ ketika ditemui baru-baru ini. – Bernama
    Pengunjung membeli makanan di kedai makan Warung Che Mat Fu yang menyajikan menu masakan Pantai Timur seperti nasi dagang dan nasi kerabu. – Bernama
    Nasi Kerabu antara menu yang dijual di Warung Che Mat Fu di Cyberjaya. – Bernama
    Kelihatan para pengunjung menikmati hidangan yang disajikan di Warung Che Mat Fu. – Bernama

    Beliau yang juga seorang guru berkata adik-beradiknya berhasrat untuk membuka Warung Che Mat Fu sejak lapan tahun lepas setelah kedai ayahnya di Kelantan terpaksa ditutup kerana musnah dalam banjir buruk pada 2014, namun niat itu tidak kesampaian kerana kekurangan modal serta terikat dengan komitmen dan kerjaya masing-masing.

    “Selepas kedai ayah ditutup pada 2014, hasrat anak-anak tidak terkubur di situ sahaja.

    Atas semangat ayah, kami akhirnya berjaya mencapai hasrat untuk membuka kedai makan sendiri selepas lapan tahun,” katanya dan apa yang menggembirakan mereka, ayahnya turut memberi sokongan dengan menurunkan resepi.

    “Selain menghargai pengorbanan ayah, Warung Che Mat Fu juga untuk memelihara masakan tradisional yang diusahakan keluarga di bawah satu bumbung,” katanya sambil menambah, kedai itu turut menyajikan masakan pantai timur seperti nasi dagang dan nasi kerabu.

    Roshamimi berkata Warung Che Mat Fu juga menarik perhatian ‘kenalan’ ayahnya yang pernah menjadi pelanggan setia ketika di Kelantan tetapi telah berhijrah ke Lembah Klang dan negeri lain bersama anak-anak mereka.

    “Bila mereka tahu kedai ini diusahakan anak ‘Che Mat’ melalui media sosial dan menyajikan masakan resipi ayah seperti hainanese chicken chop, ramai yang sanggup turun untuk menikmati makanan itu walaupun jauh.

    “Ayah selalu nasihat supaya berniaga jangan kedekut, jaga kualiti makanan dan apa yang kita masak di rumah itulah kita bagi makan orang di kedai,” katanya mengakhiri perbualan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China alu-alukan pelaburan asing dari Jerman

    BEIJING, 16 APRIL - Timbalan Perdana Menteri China, He Lifeng bertemu dengan delegasi ekonomi Jerman yang mengiringi Canselor Jerman, Olaf Scholz dalam lawatan ke...