Saturday, December 7, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengorbanan petugas barisan hadapan perlu disanjung tinggi

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Membendung penularan wabak COVID-19 sememangnya tugas yang mencabar dan menakutkan buat para petugas barisan hadapan dan sukarelawan dan jika berlaku sedikit kesilapan dan kelalaian ketika melaksanakan tugasan, bahaya besar bakal menanti mereka.

    Namun, bagi mereka yang turun ‘berperang’ sejak penularan wabak di negara kita, ternyata tidak wujud istilah penat lelah dan putus asa dalam kehidupan harian mereka.

    Sehubungan itu, pengorbanan semua para petugas barisan hadapan dan sukarelawan perlu mendapatkan penghargaan dan disanjung tinggi.

    Sebagaimana yang disentuh oleh Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama (KAFA), Kementerian Hal Ehwal Ugama baru-baru ini dalam Terapi Kejiwaan: Berterima Kasih kepada Barisan Hadapan dan Sukarelawan yang menyentuh mengenai menghargai betapa besarnya sumbangan yang diberikan oleh para petugas barisan hadapan dan sukarelawan di negara ini.

    Dari pandangan Islam, aktiviti kesukarelawan merupakan aktiviti yang terpuji dan ia antaranya mencakup pelbagai aktiviti yang memberikan khidmat bakti kepada orang lain dengan niat tulus ikhlas kerana Allah SWT dan menjaga keperibadian Muslim yang baik dan dalam masa yang sama sentiasa menjaga batas-batas syarak.

    Gambar fail Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa Pemesyuaratan ke-17 Majlis Mesyuarat Negara pada 16 Mac 2021.
    Membendung penularan wabak COVID-19 sememangnya tugas yang mencabar dan menakutkan buat para petugas barisan hadapan dan sukarelawan. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Para petugas kesihatan melakukan ujian swab secara pandu lalu di pusat swab pandu lalu BRIDEX. – Gambar fail
    Salah seorang sukarelawan memberikan bantuan kepada orang awam di Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup. – Gambar fail

    “Maka seterusnya untuk mengukuhkan doa kita itu, kita telah lakukan amal ibadat semata-mata kepada Allah. Amal kebajikan dan amal soleh sesama kita hamba-hamba Allah dan dengan ikhlas melakukannya kerana Allah jua. Ditambah lagi dengan adanya kesedaran selaku komuniti, kita orang Brunei telah menunjukkan semangat khidmat bakti yang tinggi terutama daripada petugas-petugas barisan hadapan.

    “Dalam masa yang sama, kita mendapati kalangan sukarelawan muncul khasnya daripada generasi muda baharu yang aktif dengan kerja-kerja sukarelawan. Semua ini menjadi pemangkin ketahanan nasional kita sebagai komuniti dan bangsa,” jelas Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa Permesyuaratan ke-17 Majlis Mesyuarat Negara pada 16 Mac 2021.

    Jika perkara sebegini dipelihara dan diaplikasikan, ia adalah seiring dengan ajaran Islam yang menggalakkan umatnya untuk sentiasa berlumba-lumba ke arah kebaikan malah sukarelawan seperti ini merupakan amal soleh yang mendatangkan manfaat di dunia dan akhirat.

    Adapun konsep tolong-menolong dalam aktiviti sukarelawan adalah bertepatan dengan konsep at-Ta’awun ‘alal birri wattaqwa yang menggalakkan untuk bertolong-tolongan dalam perkara yang membawa kepada kebaikan atau kebajikan dan takwa dengan syarat ia menghindarkan kita dari bertolong-tolongan dalam perkara yang membawa kepada dosa dan permusuhan.

    Dengan menjaga konsep ini, kita akan mampu memperbaiki hubungan kita dengan Allah dan hubungan kita dengan manusia. Pastinya kerja keras para barisan hadapan yang terdiri daripada doktor, jururawat, polis, askar, petugas pembersihan, para sukarelawan dan sebagainya amatlah perlu untuk dihargai.

    Dengan risiko dihadapi dan penat lelah mereka meredah cuaca hujan dan panas, siang dan malam tanpa henti sehingga terpaksa meninggalkan keluarga semata-mata untuk memastikan orang ramai boleh meneruskan kehidupan dengan tenang dan selamat adalah perlu untuk dihargai dan dikenang.

    Melihat betapa mencabar, memenatkan dan berisikonya tugas-tugas sebagai seorang petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang bekerja keras pada masa penularan COVID-19 di negara ini, kita patut merasa bersyukur dan berterima kasih atas keikhlasan mereka membantu rakyat dan negara memerangi COVID-19.

    Demikian juga, haruslah kita menghargai pengorbanan dan berusaha meringankan beban mereka antaranya dengan membantu sama ada dari segi material atau dengan apa jua jenis komitmen. 

    Ini sekaligus sebagai satu usaha kitani untuk saling bantu-membantu dalam mencapai kebaikan dan takwa di antara kita sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Az-Zukhruf ayat 32 yang tafsirnya:

    “Adakah mereka (yang) membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu (wahai Nabi Muhammad)? (Tidak. Sebenarnya) Kamilah (yang) membahagi-bahagikan antara mereka keperluan hidup mereka dalam dunia ini, (sebahagiannya Kami jadikan kaya dan sebahagianya Kami jadikan miskin). Dan Kami meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat supaya sebahagian daripada mereka dapat menggunakan sebahagian yang lain. Dan rahmat Tuhanmu adalah lebih baik daripada apa sahaja yang mereka kumpulkan.”

    Rasulullah juga pernah bersabda yang bermaksud: (Hadis riwayat Muslim)
    “Siapa yang melapangkan seorang mukmin dari kesusahan dunia, nescaya Allah melapangkan baginya kesusahan pada hari kiamat. Siapa yang memberi kemudahan kepada orang yang dilanda kesulitan, nescaya Allah memberi kemudahan baginya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutup (aib) seorang muslim, nescaya Allah menutup (aibnya) di dunia dan akhirat. Allah senantiasa menolong seorang hamba selama hamba itu menolong saudaranya.” Negara Brunei Darussalam amat bertuah kerana masyarakatnya terdiri daripada mereka yang terbiasa dengan tradisi tolong-menolong atau lebih dikenali dengan istilah bergotong-royong atau bermucang-mucang.

    Sementara itu belia adalah golongan yang paling banyak memainkan dalam aktiviti sukarelawan terutama dalam usaha menghulurkan bantuan kepada golongan yang amat memerlukan termasuklah menerusi kegiatan-kegiatan amal dan aktiviti berkebajikan yang mana usaha-usaha ini amat memberikan impak yang besar dan positif kepada golongan-golongan yang disasarkan.

    Mudah-mudahan Allah SWT akan terus menerus menganugerahkan kepada kita semua kesihatan, keafiatan, rezeki yang halal dan banyak, umur yang penuh keberkatan dan keselamatan di dunia dan akhirat. Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda