Wednesday, December 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengorbanan Rasulullah pemacu sinar Agama Islam

    Oleh Nurdiyanah R.

    Satu tarikh keramat dalam lembaran sejarah umat Islam di seluruh dunia, tanggal 12 Rabiulawal, lahirnya junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh Allah SWT yang teragung dan terakhir untuk menyampaikan risalah perintah Islam dan memimpin manusia ke jalan yang benar.

    Baginda Rasulullah SAW adalah tanda lahirnya cahaya kebenaran. Kisah hidupnya menjadi ristaan yang tidak pernah luput ditelan zaman, malah tetap segar menanamkan rasa kecintaan kita kepadanya, kerana Baginda merupakan teladan seorang Muslim yang mulia patut dicontohi oleh seluruh umat Islam. Hal ini terbukti melalui firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab ayat 21 sebagaimana tafsirnya: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi mu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”

    Oleh itu amat wajarlah sejarah kehidupan dan perjuangan Baginda Rasulullah SAW dijadikan sebagai sebuah rentetan sejarah hidup yang panjang dipenuhi dengan pelbagai pengajaran dan pedoman untuk umat Islam sejagat serta menjadi ikutan, panduan dan sebagai suri teladan (role-model) sepanjang zaman.

    Bersemaraknya laungan Dikir Maulud

    Menjejak bulan Rabiulawal, umat Islam seluruh dunia akan menyambut Maulidur Rasul, iaitu hari istimewa untuk mengingati perjuangan Rasulullah SAW dalam mengharungi liku-liku kehidupan dalam menyebarkan dakwah Islam. Saat-saat inilah sekali gus mendidik diri umat Islam untuk sentiasa membasahkan bibir dengan bacaan selawat ke atas insan terulung pesuruh Ilahi.

    Lazimnya, dalam memperingati dan menyemarakkan kelahiran Baginda Rasulullah menjelang 12 Rabiulawal 1442 Hijrah, Negara Brunei Darussalam meliputi semua masjid, surau dan balai ibadat terus bergema dengan keindahan laungan Dikir Maulud Nabi Muhammad SAW selama 12 malam berturut-turut yang mana telah disertai oleh seluruh lapisan masyarakat Islam meliputi pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta, pasukan beruniform, para jemaah masjid, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) dan juga penduduk-penduduk kampung termasuklah golongan belia dan beliawanis.

    Dengan adanya majlis-majlis yang penuh kerahmatan ini sememangnya ia dijadikan sebagai tanda syukur dan kasih umat Islam di negara ini terhadap kepimpinan agung yang menjadi manusia pilihan dan kekasih Allah SWT, di samping menjadi salah satu syiar Islam bagi memakmurkan masjid, surau dan balai-balai ibadat.

    Semua masjid, surau dan balai ibadat terus bergema dengan keindahan laungan Dikir Maulud Nabi Muhammad SAW selama 12 malam berturut-turut di seluruh negara sebagai tanda syukur dan kasih umat Islam di negara ini terhadap kepimpinan agung yang menjadi manusia pilihan dan kekasih Allah SWT, di samping menjadi salah satu syiar Islam bagi memakmurkan masjid, surau dan balai-balai ibadat – Gambar fail

    Didik diri dengan akhlak Rasulullah SAW

    Mencontohi akhlak Rasulullah SAW secara sempurna memang sukar kerana Baginda digambarkan sebagai insan kamil (manusia sempurna) yang tidak ada bandingnya. Namun demikian, bukan bererti mustahil untuk mencontohi Baginda Rasulullah SAW kerana umat Islam dituntut berusaha tanpa mengira apa pun hasilnya dalam setiap tindak-tanduk perbuatan seharian. Hal ini kerana keperibadian Baginda adalah sifat yang terbaik dan meliputi setiap aspek kehidupan.

    Rasulullah SAW adalah ‘Uswatun Hasanah’ iaitu contoh ikutan yang baik dalam semua aspek kehidupan seperti dari sudut ketaatan dan keimanan kepada Allah, kemasyarakatan dan pergau-lan, akhlak dan sifat-sifat mulia, siasah pentadbiran dan sebagainya.

    Oleh yang demikian, umat Islam dituntut untuk sentiasa mencontohi sifat-sifat dan akhlak yang ada pada diri Rasulullah SAW iaitu sentiasa jujur (siddiq), amanah, menyampaikan benar (tablig), bijaksana (fatanah) dalam segala urusannya. Sifat-sifat ini sepatutnya menjadi pakaian umat Islam demi meraih keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.

    Kita juga diseru untuk menjaga amanah yang diberikan oleh Allah SWT yang mana amanah apa pun yang diberikan adalah wajib dilakukan sesuai dengan apa yang dikehendaki oleh pemberi amanah tersebut. Umat Islam juga digalakkan untuk mengamalkan sifat jujur dalam kehidupan seharian kerana sifat jujur itu merupakan sifat yang mulia namun memerlukan pengorbanan untuk diwujudkan.

    Dengan kata lain, kita hendaklah mengamalkan sifat-sifat ini dalam kehidupan seharian serta sentiasa menjauhkan diri daripada sifat mazmumah seperti bercakap bohong, berbuat khianat dan mungkir janji kerana sifat tersebut adalah ciri-ciri orang munafik.

    Selain itu, antara sifat terpuji yang telah ditunjukkan Rasulullah SAW yang patut dicontohi dan diteladani ialah Baginda juga seorang yang penyayang, sentiasa berbuat baik, menjaga rahsia, berlemah lembut, pemalu, pemaaf, menyeru kepada kebaikan mencegah kemungkaran, adil, ikhlas, berbaik sangka, qanaah iaitu berasa cukup, menjaga hubungan persaudaraan dan sebagainya.

    Tempuhi cabaran berlandaskan syariat Islam

    Di samping itu, menghiasi diri dengan sifat sabar itu adalah akhlak dan sikap orang yang mulia dan sabar juga senjata yang paling ampuh dalam menghadapi pelbagai ujian, musibah dan kesusahan. Itulah antara sifat terpuji yang juga dimiliki oleh Baginda Rasulullah SAW sepanjang hayatnya.

    Segala ujian pasti tidak terlepas dalam kehidupan kita sehari-hari sebagai hamba Allah SWT, ini kerana Allah jualah yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita semua yang berada di muka bumi ini dan Allah SWT tidak akan menguji hamba-hambaNya di luar kemampuan seseorang.

    Oleh itu, kita dianjurkan untuk sentiasa memupuk sifat sabar yang mana sifat sabar adalah istana iman dan orang yang sabar itu dikasihi Allah SWT. Dalam kita meniti kehidupan yang fana ini, kita juga perlu menyemai dalam jiwa agar sentiasa bertaubat kepada Allah SWT atas segala dosa dan kesalahan yang dilakukan setiap hari. Sebagai manusia biasa, seseorang itu hendaklah menyedari bahawa mereka tidak akan terlepas daripada berbuat kesalahan dan dosa, baik kepada Allah SWT mahupun kepada sesama manusia. Hal ini juga merupakan antara cara praktikal yang dapat dilakukan oleh seseorang umat Islam untuk mencontohi akhlak Rasulullah SAW.

    Oleh yang demikian, semoga dengan kedatangan hari memperingati junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW yang disambut saban tahun ini memberi 1001 makna buat umat Islam dalam menjalani kehidupan sebagai hambaNya yang beriman dan beramal soleh.

    Diharap, keindahan Maulidur Rasul ini juga dapat menambahkan lagi kecintaan dan penghayatan kita umat Islam kepada kesucian agama Islam sekali gus mendidik diri untuk sentiasa berpegang kepada prinsip amar makruf nahi mungkar iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Jika setiap jati diri individu Muslim sentiasa diwarnai dengan nilai-nilai murni, sudah setentunya rahmat Allah SWT akan sentiasa menyinari kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan juga bernegara.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda