Penguasa bomba naik pangkat

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Seorang penguasa kanan bomba dan penyelamat dinaikkan pangkat kepada penolong pengarah bomba dan penyelamat pada Majlis Penyampaian Tanda Pangkat berlangsung di Mes Pegawai, Dewan Serba guna Bomba, Jalan Landasan Lama Berakas, hari ini.

Hadir untuk menyempurnakan penyampaian tanda pangkat kepada Awang Nohi Irwan Surkari bin Haji Pawi ialah Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lim Hock Guan.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan, pegawai, anggota dan kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) serta ahli keluarga pegawai yang diraikan di majlis berkenaan.

Penguasa Kanan Bomba Awang Nohi Irwan Surkarki mula berkhidmat di JBP pada 1 Februari 2001 dan ditempatkan di beberapa buah tempat sebelum ini iaitu Unit Teknikal, RND, Pejabat Penolong Pengarah Teknikal, MTO, pegawai pemerintah Cawangan Operasi D, F, G, timbalan pemerintah Cawangan Operasi B dan terakhir, di Bahagian Keselamatan Kebakaran.

Beliau pernah mengikuti kursus-kursus seperti Kursus Asas Pegawai Kadet di Pusat Latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Basic Officer Course, Fire Safety Specialist and Fire Investigation di Singapura dan Junior Staff Course di Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

JBP mengucapkan syabas dan tahniah kepada Awang Nohi Irwan Surkari atas kenaikan pangkat berkenaan dan diharapkan ia sebagai satu dorongan untuk meningkatkan lagi komitmen, kualiti, produktiviti dan mutu kerja yang lebih efektif ke arah menuju kecemerlangan bagi mencapai visi dan misi jabatan berkenaan.

Lim Hock Guan menyempurnakan penyampaian tanda pangkat kepada Awang Nohi Irwan.
Awang Nohi Irwan bergambar bersama keluarga.