Penguat kuasa boleh guna senjata api jika nyawa terancam

PUTRAJAYA, 21 Julai – Pegawai dan anggota pasukan penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dibenarkan menggunakan senjata api bila nyawa terancam ketika menjalankan tugas dengan pelancaran Garis Panduan Penggunaan Senjata Api (Semasa Menjalankan Tugas) 2017 hari ini.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata garis panduan lengkap yang berkuat kuasa serta-merta itu adalah penambahan kepada garis panduan senjata api yang sedia diguna pakai oleh agensi-agensi penguatkuasaan di negara ini berhubung tatacara penggunaan senjata api.

Beliau berkata penyediaan garis panduan ini tercetus berikutan insiden yang menimpa seorang pegawai kastam Anisah Ali yang maut selepas kenderaan dinaiki bersama dua rakan ketika bertugas dilanggar tonto di Kampung Banggol Chicha, Pasir Mas Oktober lalu.

“Berikutan kejadian itu, terdetik di hati saya bahawa kejadian ini berlaku kerana kurangnya pendedahan dan pengetahuan mengenai prosedur penggunaan senjata api dalam kalangan anggota penguat kuasa semasa menjalankan tugas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Suku Tahunan Jabatan Peguam Negara di sini hari ini.

Pada Disember lepas, katanya, beliau mengarahkan Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara untuk menubuhkan satu pasukan khas bagi mengkaji semula tatacara penggunaan senjata api sedia ada yang diguna pakai di semua agensi penguatkuasaan di Malaysia.

Ditanya sama ada garis panduan ini adalah penambahbaikan, Mohamed Apandi berkata, ‘Ia bukan penambahbaikan tetapi sebenarnya inovatif kerana sebelum ini tiada. SOP awal hanya mengandungi tatacara selamat menyimpan senjata api.

“Tiada garis panduan sebenar mengenai bagaimana dan bila untuk menggunakan senjata api oleh anggota agensi penguatkuasaan. Ini adalah garis panduan baharu, sebagai panduan kepada pegawai penguat kuasa untuk memastikan dan memberitahu mereka di mana dan dalam keadaan bagaimana senjata api boleh digunakan. – Bernama