Penguat kuasa rampas lebih 460 barangan tegahan

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Dua percubaan menyeludup sejumlah 469 kotak dan botol barangan tegahan berjaya dipatahkan oleh Polis Marin, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan kerjasama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) di kawasan perairan Menunggol Laut, Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini.

Operasi sepadu diketuai Polis Marin itu menemui dua buah perahu yang mencurigakan cuba memasuki perairan negara ini melalui kawasan perairan Kampung Limpaku Pinang, Malaysia.

Semasa kejadian, penyeludup cuba melepaskan diri dan berlaku insiden kejar mengejar yang akhirnya menemui dua perahu tersebut terdampar di sungai tanpa pemandu. Perahu-perahu kemudian ditunda keluar oleh pihak JKED dan menyerahkannya kepada pihak polis.

Melalui pemeriksaan yang dijalankan mendapati sejumlah 420 karton rokok pelbagai jenama, 24 botol minuman keras dan 25 kotak sayap ayam mentah ditemui. Kesemua barangan rampasan diserahkan kepada JKED bagi siasatan lanjut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPDB, agensi-agensi penguatkuasa akan sentiasa membuat pemantauan, menjejak dan seterusnya membanteras kegiatan mahupun para penjenayah yang hendak bertapak dan menjalankan kegiatan haram di negara ini.

Sehubungan itu, kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat amat dialu-alukan, yang menurut PPDB amat berkesan dalam usaha membanteras kegiatan menyalahi peraturan ini.

Antara sebahagian barangan tegahan yang dirampas oleh pihak berkuasa pada operasi di perairan Menunggol Laut.
Dua buah perahu yang digunakan untuk membawa masuk barangan tegahan.