Penguin hiburkan ratusan ribu penonton sepanjang sekatan

MELBOURNE, 26 OGOS – Perarakan penguin setiap malam yang disiarkan secara langsung dari taman Australia yang sepi telah menjadi sensasi online sepanjang perintah berkurung, dengan ratusan ribu menonton binatang comel tersebut berjalan terkedek-kedek kembali ke lubang dari laut.

Sebelum wabak, menonton penguin di Pulau Phillip, kira-kira dua jam perjalanan dari Melbourne, merupakan tarikan utama pelancong.

Tetapi dengan wilayah itu yang berada dalam perintah berkurung setelah kemunculan semula kes COVID-19, taman pemuliharaan pulau itu melancarkan program siaran langsung ‘Live Penguin TV’ di Facebook dan YouTube serta telah menarik penonton pada waktu malam pertama hampir 800,000 semalam, katanya.

Pulau itu adalah rumah bagi spesies penguin terkecil, yang dipanggil sebagai ‘Little Penguin’ atau juga dikenali sebagai ‘Fairy Penguin’, dan program siaran langsung itu menunjukkan haiwan berkenaan bermain-main di dalam air dan kembali ke tanah kering.

“Ini telah memberi kita sesuatu untuk dinantikan ketika dalam pengasingan diri, terima kasih banyak,” komen seorang pengguna Facebook pada tayangan semalam.

Persembahan telatah aksi penguin setiap malam yang disiarkan secara langsung dari taman Australia menghiburkan ratusan ribu menonton sepanjang perintah berkurung. – AAP

Sesi yang disiarkan secara langsung selama satu jam itu akan berlanjutan walaupun sekatan virus ditarik balik di wilayah Victoria, kata taman itu, bagi sesiapa yang tidak dapat pergi ke pulau itu.

“Kami telah melihat gambar yang disiarkan di media sosial seluruh keluarga menonton di komputer dan peranti mereka,” kata Catherine Basterfield, ketua eksekutif Taman Alam Semula Jadi Pulau Phillip.

“Gembira rasanya dapat memberikan keriangan kepada orang ramai pada masa-masa yang mencabar ini.”

Terdapat sekitar 771,000 penonton kelmarin, menurut taman itu. Kes virus kian berkurangan di Victoria, dengan melaporkan 149 jangkitan baharu hari ini.

Australia telah mengesahkan lebih daripada 25,200 kes dengan 549 kematian COVID-19. – AFP