Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Pengukuhan semula sistem kesihatan jadi tumpuan utama

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Pengukuhan semula sistem kesihatan yang terjejas akibat COVID-19 akan menjadi fokus utama Kementerian Kesihatan dalam belanjawan kerana ia adalah tunggak kepada kelangsungan perkhidmatan-perkhidmatan penjagaan kesihatan sepanjang hayat.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika membentangkan peruntukkan bagi Kementerian Kesihatan semasa permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.

    Ke arah itu, beliau menyatakan tema Belanjawan Tahun Kewangan 2022-2023 ialah Sistem Kesihatan yang Dinamik dan Resilien di mana untuk mencapai hasrat berkenaan keutamaan akan diberikan kepada beberapa perkara.

    Antara perkara yang diberikan keutamaan ialah penyampaian perkhidmatan perubatan yang terbaik, profesional dan berdaya tahan.

    Dalam hal itu, kementerian antara lain menitik beratkan inisiatif-inisiatif yang berkaitan dengan pencegahan awal khususnya Program Saringan bagi Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit, memastikan keberkesanan penggunaan sumber atau aset yang efisien termasuklah perbelanjaan dengan lebih berhemah, penggunaan infrastruktur yang sedia ada dengan memberikan keutamaan kepada pemuliharaannya dan pemeliharaan peralatan-peralatan perubatan mengikut jangka masa yang sepatutnya.

    “Ini termasuk meningkatkan kolaborasi dengan pihak swasta melalui penyumberluaran perkhidmatan dan melalui public private partnership,” tambahnya.

    Beliau turut menekankan penerapan inovasi dalam pemberian perkhidmatan dengan mengambil faedah daripada perkembangan teknologi perubatan dalam era Industri Revolusi 4.0 dan mensejajarkannya dengan Pelan Induk Ekonomi Digital.

    Perkembangan penggunaan artificial intelligence, aplikasi mudah alih seperti BruHealth, video consultation dan penggunaan media sosial dalam penyampaian perkhidmatan dan maklumat akan terus dikembangkan.

    Keutamaan juga diberikan kepada usaha-usaha bagi menangani isu-isu kesihatan mental serta menyumbang kepada meningkatkan hasil kerajaan melalui pengurusan pengutipan hasil yang lebih cekap secara berterusan dan meneliti kos-kos perubatan agar mengurangkan subsidi kerajaan kepada pekerja-pekerja asing yang sudah sepatutnya diliputi dengan insurans kesihatan mandatori.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato berkata, usaha untuk menambah jumlah profesional kesihatan tidak akan berhenti selagi belum mencapai kadar nisbah profesional bagi sejumlah penduduk yang ideal dan adalah ketara bagi keperluan jumlah jururawat.

    Nisbah yang disarankan dalam Matlamat Pemba-ngunan Mampan bagi jururawat ialah 83 jururawat bagi setiap 10,000 penduduk. Negara Brunei Darussalam mempunyai nisbah 71 orang jururawat bagi setiap 10,000 penduduk.

    “Ini menunjukkan kekurangan yang kritikal yang boleh membawa kesan terhadap kualiti perkhidmatan perubatan dan kesihatan di negara ini,” jelasnya.

    Sementara itu, jumlah keramaian doktor dan jururawat yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan telah meningkat sejak lima tahun kebelakangan dengan jumlah doktor pada tahun kewangan 2017/2018 ialah seramai 630 orang dan meningkat kepada 772 orang pada tahun kewangan 2021/2022.

    “Dari jumlah ini, seramai 397 orang iaitu 51 peratus adalah terdiri dari doktor-doktor tempatan. Peningkatan jumlah doktor di sektor swasta dan juga menyumbang kepada peningkatan nisbah doktor kepada penduduk iaitu 19 orang doktor bagi setiap 10,000 penduduk pada tahun 2017 berbanding 25 orang doktor bagi setiap 10,000 penduduk pada tahun 2021,” tambahnya.

    Manakala jumlah jururawat mula meningkat daripada 2,413 orang kepada 2,683 orang bagi tempoh yang sama, jelasnya, walau bagaimanapun, penjanaan jumlah profesional yang diperlukan adalah terlalu lambat yang antara lain disebabkan tempoh yang diperlukan untuk mengeluarkan profesional yang mempunyai kepakaran khusus mengambil masa lama serta tidak selari dengan pertumbuhan jumlah penduduk Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...