Pengumuman AETS beri kesan positif

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Pengumuman pelaksanaan Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetujui (AETS) ke-6 telah menampakkan kesan positif dengan paras harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR20) FOB meningkat sebanyak 12.7 peratus kepada 587.0 sen/kilogram pada 7 Mac 2019, daripada 521.0 sen/kilogram pada 31 Dis 2018.

Ini walaupun pada hakikatnya Malaysia akan hanya melaksanakan AETS bermula 1 April, 2019, sehingga 31 Julai, 2019, dengan jumlah eksport dihadkan kepada 357,535 tan metrik, iaitu pengurangan sebanyak 15,600 metrik tan, kata Kementerian Industri Utama (MPI) dalam satu kenyataan, hari ini.

Pelaksanaan AETS telah dipersetujui semasa Mesyuarat Khas Peringkat Pegawai Kanan Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) yang diadakan pada 4-5 Mac, 2019, di Bangkok, Thailand, yang dihadiri para pegawai kanan dari Thailand, Indonesia dan Malaysia.

Mesyuarat ini merupakan susulan daripada keputusan yang telah dibuat oleh ketiga-tiga Menteri ITRC sewaktu Mesyuarat Khas Peringkat Menteri ITRC pada 22 Feb juga diadakan di Bangkok.

“Secara keseluruhannya, ketiga-tiga negara bersetuju untuk melaksanakan AETS selama empat bulan dengan jumlah pengurangan eksport getah asli sebanyak 240,000 tan metrik,” kata kementerian itu.

Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, sebuah jawatankuasa pemantauan iaitu Jawatankuasa Pemantauan dan Pengawasan AETS telah ditubuhkan dan dianggotai oleh wakil badan pelaksana setiap negara anggota ITRC. – Bernama