Sunday, June 4, 2023
24 C
Brunei

    -

    Pengundi harap kebuntuan politik ditamatkan

    DILI, TIMOR LESTE, 21 MEI – Penduduk Timor Leste hari ini berduyun-duyun ke pusat mengundi untuk membuang undi dalam pilihan raya parlimen, berharap kebuntuan politik selama bertahun-tahun di negara itu dapat ditamatkan.

    Ia merupakan undian parlimen kelima sejak negara itu meraih kemerdekaan dari Indonesia pada 2002 selepas 24 tahun penjajahan, dengan 65 penggubal undang-undang negara akan diundi untuk mandat selama lima tahun.

    Para pengundi membentuk barisan panjang, membawa payung untuk berlindung ketika sabar menanti giliran mereka sehingga stesen undi ditutup jam 3 petang.

    “Semua orang datang untuk menyatakan pendapat mereka, kerana satu undian boleh membawa perubahan,” kata pengundi berusia 61 tahun, Cesar dos Santos de Carvalho di pusat mengundi di ibu kota Dili.

    “Saya berharap parti politik yang saya pilih akan memberikan perhatian kepada kesihatan, pendidikan, infrastruktur dan pertanian, kerana ia sektor paling utama.”

    Orang ramai berbaris untuk membuang undi semasa pilihan raya parlimen di stesen undian di Dili, Timor Leste pada 21 Mei. – AP

    Seorang lagi pengundi, Nazario Gregorio Guterres, menekankan keperluan untuk meningkatkan infrastruktur di Timor Leste, salah satu negara termiskin di dunia.

    “Lihatlah ibu kota kami, Dili. Sukarnya untuk mendapat elektrik dan air bersih. Parti saya pilih itu perlu memperbaiki jalan raya, elektrik dan membekalkan air bersih,” kata Guterres.

    Negara itu mempunyai 890,000 orang pengundi berdaftar dan sejumlah 17 parti bersaing untuk mendapatkan kerusi, tetapi pilihan raya dijangka menjadi persaingan antara dua parti terbesar.

    The Revolutionary Front for an Independent East Timor, yang dikenali sebagai Fretilin, memimpin parti gabungan yang memerintah ketika ini, sementara National Congress for Timorese Reconstruction (CNRT) berharap untuk membuat kemunculan semula.

    CNRT dipimpin oleh Xanana Gusmao, presiden pertama negara itu sehingga 2007, sementara pemimpin Fretilin ialah bekas perdana menteri, Mari Alkatiri.

    Kedua-dua mereka dianggap sebagai ikon era kemerdekaan dan veteran dalam bidang politik negara itu, namun terlibat dalam pertelingkahan selama berdekad-dekad.- AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Punca kemalangan kereta api India dikenal pasti

    NEW DELHI, 4 JUN - Menteri Kereta Api India berkata hari ini bahawa punca dan orang yang bertanggungjawab terhadap nahas kereta api yang paling...
    - Advertisment -