Oleh Salawati Haji Yahya
BELAIT, 13 FEB – Seramai 140 daripada 193 orang penduduk Kampung Sungai Liang yang berdaftar dan layak mengundi telah memilih calon untuk mengisikan kekosongan jawatan ketua Kampung Sungai Liang, hari ini.
Majlis pengundian calon ketua kampung yang dilaksanakan secara pandu lalu itu diadakan di Dewan Serbaguna SPARK, Mukim Liang dan pengundian dilaksanakan menggunakan kaedah tablet (offline voting) dan kertas undi.
Manakala pengundian aplikasi mudah alih e-Undi PMKK telah pun bermula pada 11 Februari lalu.
Daripada jumlah yang telah mengundi tersebut, seramai 70 orang bersetuju dan 67 orang tidak bersetuju manakala itu tiga undi rosak.
Keputusan pengundian yang diperoleh akan dibawa dan digunakan dalam menyediakan sokongan dan seterusnya dihadapkan kepada Lembaga Perjawatan, Disiplin, Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi proses yang selanjutnya.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Liang, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin dan Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Mohamad Yassin bin Haji Ahmed antara yang hadir menyaksikan proses undian berkenaan.
Calon tunggal layak bagi jawatan ketua Kampung Sungai Liang ialah Awang Mohammad Haszrin bin Bagol berusia 34 tahun yang merupakan graduan Sarjana Muda (Usuluddin) dari Universiti Sultan Sharif Ali (UNISSA).