Wednesday, April 17, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Pengundian Ketua Kg Menglait, Sg Tilong baharu dijalankan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Ketua kampung berperanan dan bertindak sebagai perantara dua hala bukan hanya sebagai ‘mata’, ‘telinga’, dan ‘lidah’ malahan sebagai ‘kaki’ dan ‘tangan’ kerajaan serta penduduk kampungnya bagi menjaga dan mengawasi kepentingan dan keselamatan kampung di bawah penjagaannya.

    Di samping itu, seorang ketua kampung harus bertanggungjawab mewujudkan, memelihara dan mengekalkan persefahaman, perpaduan dan keharmonian hidup bermasyarakat serta menggalakkan semangat bermucang-mucang dan bergotong-royong supaya tidak luput ditelan zaman.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim semasa Majlis Pengundian dan Pemilihan bagi Jawatan Ketua Kampung Menglait dan kawasan sekitarnya, Mukim Gadong B yang berlangsung di perkarangan Sekolah Menengah Menglait, hari ini.

    Majlis pengundian dan pemilihan calon bagi ketua-ketua kampung di mukim berkenaan, dilaksanakan dengan menggunakan kertas undi dan secara dalam talian melalui aplikasi mudah alih e-Undi PMKK.

    Calon yang layak ialah Haji Othman bin Haji Patra, berumur 49 tahun semasa tarikh pencalonan dan telah bermastautin di kampung berkenaan sejak 20 tahun yang lalu.

    Awang Misle ketika menghadiri majlis pengundian bagi ketua Kampung Menglait dan kawasan sekitarnya yang diadakan di perkarangan Sekolah Menengah Menglait.

    Beliau mempunyai kelulusan BTEC Diploma Tertinggi dalam Perniagaan dan Pengurusan, Institut Teknologi Brunei dan pernah berkhidmat di Royal Brunei Technical Services sebagai penganalisis kewangan.

    Seramai 142 orang penduduk kampung daripada seramai 195 orang yang berdaftar dan layak mengundi telah hadir mengundi calon untuk mengisikan kekosongan jawatan ketua Kampung Menglait dan kawasan sekitarnya, di mana daripada jumlah yang telah hadir, seramai 141 orang bersetuju dan seorang tidak bersetuju, manakala tiada undi rosak.

    Sementara itu, Majlis Pengundian dan Pemilihan bagi Jawatan Ketua Kampung Sungai Tilong pula telah diadakan di perkarangan Masjid Kampung Sungai Hanching di mana hadir semasa pengundian berkenaan ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz.

    Calon tunggal yang layak bagi mengisikan kekosongan jawatan ketua kampung Sungai Tilong ialah Pengiran Haji Ruzaini bin Pengiran Haji Shahbuddin berumur 34 tahun semasa tarikh permohonan dan telah tinggal di kampung itu sejak lahir.

    Beliau berkelulusan Diploma Tertinggi Kebangsaan BDTVEC dalam Perniagaan dan Kewangan (Perakaunan) dari Institut Teknologi Brunei 2011. Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat dengan Syarikat Bayu Ilham Motors Sdn Bhd.

    Semasa majlis pengundian, seramai 140 orang penduduk kampung daripada seramai 287 orang yang berdaftar dan layak mengundi telah hadir mengundi calon, di mana daripada jumlah yang hadir, seramai 138 orang bersetuju dan dua orang tidak bersetuju, manakala tiada undi rosak.

    Keputusan pengundian dan pemilihan calon ketua-ketua kampung yang dijalankan pada hari ini akan dihadapkan kepada Lembaga Perjawatan, Disiplin dan Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi proses selanjutnya.

    Dalam pada itu, Jabatan Daerah Brunei dan Muara akan meneruskan lagi beberapa sesi majlis pengundian dan pemilihan calon ketua-ketua kampung iaitu bagi ketua Kampung Kilanas, Mukim Kilanas pada 5 Jun di Sekolah Menengah Sayyidina Hassan, Kampung Kilanas, Mukim Kilanas; ketua Kampung Menunggol, Mukim Kota Batu pada 12 Jun di Sekolah Rendah Nakhoda Abdul Rashid, Kampung Menunggol, Mukim Kota Batu; dan calon ketua Kampung Jaya Setia, Jaya Bakti dan Burong Pingai Berakas, Mukim Berakas A pada 19 Jun di Sekolah Rendah Amar Pahlawan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China alu-alukan pelaburan asing dari Jerman

    BEIJING, 16 APRIL - Timbalan Perdana Menteri China, He Lifeng bertemu dengan delegasi ekonomi Jerman yang mengiringi Canselor Jerman, Olaf Scholz dalam lawatan ke...