Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Pengundian pilih 4 calon ketua kampung

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Majlis pengundian dan pemilihan calon empat jawatan ketua kampung di Daerah Brunei dan Muara telah diadakan secara serentak di beberapa lokasi, hari ini.

    Pengundian dan pemilihan calon bagi Mukim Berakas B telah diadakan di Dewan Kemasyarkatan II, Mukim Berakas B, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lambak Kanan bagi mengisikan jawatan kosong ketua Kampung Kawasan 2 dan ketua Kampung Kawasan 4, RPN Lambak Kanan.

    Hadir menyaksikan majlis berkenaan ialah Pegawai Daerah Brunei dan Muara Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

    Majlis pengundian dan pemilihan calon bagi ketua-ketua kampung di mukim berkenaan dilaksanakan dengan menggunakan kertas undi dan menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK.

    Pengundian menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK telah bermula pada 15 sehingga 17 April lalu yang mana pendaftaran untuk mengundi melalui aplikasi berkenaan ditutup pada 14 April.

    Salah seorang penduduk kampung memasukkan kertas undian ke dalam kotak yang disediakan.

    Sementara itu, majlis pengundian dan pemilihan calon bagi Mukim Serasa telah diadakan di Dewan Serbaguna, Pusat Tingkatan Enam Meragang, Mukim Serasa bagi mengisikan jawatan kosong ketua Kampung Kawasan 1, RPN Meragang dan ketua Kampung Kawasan 2, RPN Meragang.

    Calon yang layak dibawa ke Majlis Pengundian dan Pemilihan Ketua Kampung Kawasan 2, RPN Lambak Kanan ialah Haji Omar bin Haji Sapar yang berusia 55 tahun pada tarikh pencalonan dan ketika ini memangku jawatan ketua Kampung Kawasan 2, RPN Lambak Kanan, Mukim Berakas B.

    Pada majlis pengundian tersebut, beliau telah mendapat 432 undian menyatakan bersetuju manakala lima undian tidak bersetuju dan tiga undian rosak.

    Manakala itu, calon ketua Kampung Kawasan 4, RPN Lambak Kanan ialah Haji Mohamad Fazzly bin Haji Suhaili, berusia 38 tahun pada tarikh pencalonan dan sebelum ini berkhidmat dengan Insurans Islam TAIB.

    Di majlis pengundian itu, beliau telah mendapat 100 undian menyatakan bersetuju, manakala enam tidak bersetuju dan satu undian rosak.

    Calon bagi jawatan ketua Kampung Kawasan 1, RPN Meragang ialah Awang Madzlan bin Haji Jumaat berumur 45 tahun pada tarikh pencalonan dan ketika ini berkhidmat di Unit Keselamatan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.

    Beliau telah mendapat 129 undian menyatakan bersetuju dan tujuh undian menyatakan tidak bersetuju.

    Manakala itu, pengundian dan pemilihan calon ketua Kampung Kawasan 2, RPN Meragang pula mempunyai dua calon, Awang Mohammad bin Haji Tamin dan Awang Tasad bin Haji Tamam.

    Awang Mohammad yang berumur 51 tahun semasa tarikh pencalonan dan ketika ini berkhidmat di Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan telah mendapat 224 undian menyatakan bersetuju.

    Sementara itu, Awang Tasad yang berumur 55 tahun pada tarikh pencalonan dan sebelum bersara berkhidmat di Kementerian Pengangkutan dan InfoKomunikasi mendapat 44 undian menyatakan bersetuju.

    Hadir menyaksikan pengundian calon ketua kampung bagi Mukim Serasa itu ialah Penolong Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Haji Amirul Hafidzin bin Haji Muhammad.

    Keputusan pengundian dan pemilihan calon ketua-ketua kampung yang dijalankan pada hari ini akan dihadapkan kepada Lembaga Perjawatan, Disiplin dan Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi proses selanjutnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...