Pengunduran AS secara beransur-ansur

BAGHDAD, 10 Jan – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo semalam berkata tentera AS akan berundur dari Syria ‘secara beransur-ansur dan tetap’, lapor agensi berita rasmi Turki Anadolu memetik kenyataan kerajaan Iraq.

Menurut kenyataan itu, semasa pertemuan Pompeo dengan Perdana Menteri Iraq, Adil Abdul-Mahdi di Baghdad, beliau (Pompeo) berkata pengunduran tentera AS dari Syria akan berlaku dengan penyelarasan dan kerjasama kerajaan Iraq.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa Abdul-Mahdi menonjolkan kepentingan hubungan AS dan Iraq dalam sektor tenaga serta ekonomi terutama dalam peperangan menentang kumpulan pengganas Daesh pada pertemuan tersebut.

Pompeo pada Rabu telah mengadakan lawatan mengejut ke Iraq. Semasa lawatannya, Pompeo bertemu Presiden Iraq Barham Salih, Abdul-Mahdi, Speaker Parlimen Mohamed al-Halbusi dan pegawai atasan lain serta tokoh politik.

Kemudian, beliau bertolak ke Erbil dan bertemu Masoud Barzani, pemimpin Parti Demokratik Kurdistan (KDP) yang juga bekas ketua Kerajaan Wilayah Kurdish (KRG) di utara Iraq.

Pompeo sedang dalam rangka lawatan ke Timur Tengah bertujuan meyakinkan sekutu serantau Washington berhubung sokongan berterusan AS walaupun negara itu merancang untuk mengundurkan tenteranya dari Syria.

Setiausaha Negara AS itu berada di Jordan pada Selasa pada pusingan pertama lawatannya ke rantau itu, yang juga akan membawa beliau ke Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Bahrain, Oman dan Kuwait. – Bernama

Mike Pompeo berucap kepada pihak media di kompaun Kedutaan AS di ibu negara Iraq, Baghdad pada 9 Januari 2018. – AFP