Wednesday, December 4, 2024
26 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengunjung ke Taj Mahal bakal dihadkan

    NEW DELHI, 4 Jan – India merancang untuk mengehadkan jumlah pengunjung harian ke Taj Mahal kepada 40,000 orang selain tempoh setiap lawatan hanya tiga jam dalam usaha melindungi khazanah negara yang berusia hampir 400 tahun itu, lapor agensi berita China Xinhua.

    Tinjauan Arkeologi India (ASI) membuat cadangan itu kepada Kementerian Kebudayaan selepas berlaku satu insiden rempuhan di pintu masuk ke Taj Mahal yang mencederakan lima orang pada Khamis lepas.

    Menurut ASI, jumlah terkini pengunjung ke Tapak Warisan Dunia itu ialah kira-kira 40,000 orang pada hari biasa (Isnin hingga Jumaat) serta boleh mencecah 70,000 pada hujung minggu dan musim cuti.

    Sebaik sahaja sekatan itu berkuat kuasa, penjualan tiket secara dalam talian atau luar talian akan dihentikan apabila jumlah yang dihadkan habis terjual.

    Bagaimanapun, sekatan itu hanya terpakai kepada pas berharga 40 rupee (AS$0.60) yang dibeli oleh pengunjung domestik.

    Gambar fail bertarikh 5 Disember 2017 memperlihatkan pelancong yang berada di sekitar Taj Mahal ketika pekerja membersihkan monumen itu di Agra India. – AP

    Jumlah pengunjung asing, yang dikenakan bayaran sebanyak 1,000 rupee (AS$15.70), tidak akan dihadkan.

    Satu lagi langkah yang dicadangkan oleh ASI termasuk tiket masuk berasingan untuk melawat kawasan kripta, di mana replika makam Maharaja Shah Jahan dan isterinya, Mumtaz Mahal, ditempatkan.

    Monumen itu, yang dibina bagi memperingati Mumtaz Mahal dan merupakan satu daripada ‘Tujuh Keajaiban Dunia,’ telah mengalami kesesakan dan pencemaran udara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda