Friday, September 27, 2024
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pengunjung nikmati rambutan segar di Dong Nai

    DONG NAI, VIETNAM – Pelancong dan pengembara berpusu-pusu membanjiri bandar Long Khanh di wilayah Dong Nai untuk menikmati buah rambutan – buah yang menjadi kebanggaan dan keistimewaan wilayah itu.

    Nguyen Bich Ngoc dan rakannya dari bandar Ho Chi Minh baru-baru ini meluahkan rasa teruja setelah mengunjungi kebun buah di Long Khanh, kira-kira 50 kilometer dari bandar.

    Buah rambutan boleh didapati di wilayah bahagian selatan negara itu, terutama di Cuu Long di delta sungai Mekong, tetapi buah yang paling sedap didapati di bandar Long Khanh.

    Ngoc dan rombongannya tiba di perkampungan buah-buahan di Binh Loc, wilayah Long Khanh yang dipenuhi dengan haruman bunga yang berterbangan dan bau buah yang manis.

    Ngoc berkata rombongannya memilih perkampungan Cay Da kerana ia mempunyai kebun buah rambutan, durian dan manggis yang besar dan menarik.

    Kelihatan pengunjung memetik buah rambutan segar di kebun buah di Long Khanh, kira-kira 50 kilometer dari bandar Ho Chi Minh. – Gambar ANN/Vietnam News
    Gambar ANN/Vietnam News
    Buah rambutan Long Khanh yang turut diiktiraf oleh Vietkings sebagai 50 keistimewaan teratas Vietnam. – Gambar ANN/Vietnam News
    Antara hidangan tradisional yang disajikan di pondok beratap jerami di kebun tersebut. – Gambar ANN/Vietnam News

    Pemilik kebun-kebun buah ini sangat mesra. Mereka menjelaskan kepada kami mengenai setiap jenis buah dan mengajar kami cara-cara memetik buah,” kata Ngoc, dan menambah bahawa bayaran kemasukan ke kebun buah adalah antara VND100,000 hingga VND120,000.

    Rombongannya gembira kerana dapat menikmati rasa buah rambutan yang segar dan manis.

    “Kami berasa seronok berada di dalam kebun buah di mana dahan-dahan pokok rambutan merimbun. Ia berasa seakan-akan kami berada dalam dunia dongeng,” kata Ngoc.

    Rombongannya diberitahu untuk memilih buah longan-rambutan yang sedikit kecil tetapi mempunyai ciri-ciri dan rasa tersendiri yang tidak dapat dibandingkan dengan varieti rambutan yang lain.

    Ketika berjalan-jalan di sekitar kebun selama satu jam, Ngoc berkata dia banyak melihat rombongan-rombongan dari bandar Ho Chi Minh dan wilayah sekitarnya yang turut mengunjungi kebun tersebut.

    Ngoc dan rakannya juga telah membeli beberapa kilogram buah rambutan dengan harga VND25,000 setiap kilo untuk dibawa pulang.

    Harga tersebut lebih murah berbanding buah yang dijual di pasar-pasar di Ho Chi Minh. Namun, ia memberikan rasa kepuasan kepada dirinya kerana dia boleh memilih dan memetik buah secara langsung dari pokok.

    Rombongan yang disertai Ngoc juga mengunjungi kebun anggur hijau yang ditanam dengan ribuan pokok, kesemua buahnya dapat dilihat tergantung. Setiap buah adalah kira-kira 1.5 hingga 2 kilo atau lebih.

    “Ramai pengunjung mengambil gambar swafoto dan menikmati buah-buahan,” kongsi Ngoc.

    Sebelum pulang, rombongan tersebut berehat di sebuah pondok beratap jerami di kebun itu, di mana mereka disajikan dengan hidangan tradisional seperti salad rambutan bersama udang, hidangan daging bakar yang dibalut dengan kertas nasi, dan sos masam manis yang dicampurkan dengan bawang putih dan cili hijau yang dikisar.

    Mereka juga disajikan dengan bubur ayam, sup ketam dengan nasi dengan harga VND120,000 setiap seorang.

    “Kami sangat gembira kerana kami menikmati hidangan dan suasana yang sangat cantik dengan buah-buahan dilihat tergantung di mana-mana,” kata Ngoc.

    Pada tahun 2016, Jabatan Harta Intelek telah menganugerahkan sijil petunjuk geografi bagi rambutan Long Khanh yang turut diiktiraf oleh Vietkings sebagai 50 keistimewaan teratas Vietnam.

    Petunjuk geografi membantu peladang Long Khanh untuk menambah baik standard kehidupan mereka dan menarik kehadiran pengunjung, termasuk pelancong luar ke bandar itu, kata seorang pegawai dari Jabatan Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar wilayah itu.

    Buah-buahan tersebut telah dimakan oleh penduduk tempatan melalui penjual, jualan dalam talian dan pasar raya. Ia juga dieksport ke China, Laos, Kemboja dan tempat-tempat lain, menurut pegawai itu. – ANN/Vietnam News

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda