Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Pengumuman mengenai caj perkhidmatan bagi Sistem Keluar dan Masuk (EES) yang dikenakan ke atas setiap kenderaan sahaja bermula 12 Disember ini telah memberi kelegaan kepada orang awam.
Wartawan Media Permata hari ini berkesempatan mendapatkan pandangan orang ramai mengenai pengumuman yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof semasa Sidang Media Jawatankuasa Pandu COVID-19 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.
Awang Radduandy bin Haji Karim berpendapat pengemaskinian yang diberigakan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) pastinya amat ditunggu-tunggu oleh sebilangan rakyat dan penduduk negara ini.
Menurutnya, caj pengguna yang akan berkuatkuasa minggu depan bagi perjalanan rentas sempadan itu adalah pada tahap berpatutan dan kos kadar mampu bagi keselesaan serta akan terus diperbaiki dari semasa ke semasa tanpa membebankan atau menyukarkan orang awam.
Suri rumah tangga dari Kampung Selayun, Dayang Rositi binti Mohd Salleh pula meluahkan rasa syukur dan lega atas inisiatif pihak kerajaan meniadakan caj perkhidmatan mengikut kepala. Ia benar-benar membantu keluarga yang ramai ahlinya, tambahnya.
Manakala itu, Haji Sohaili bin Haji Mohidi dari Lambak, ketika dihubungi turut melahirkan kegembiraan.
Beliau berkata, sinonim dengan musim percutian hujung tahun, sudah tepat pada waktunya bagi memberikan keselesaan dan kemudahan kepada kedua-dua rakyat Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.
Menurutnya, kutipan caj pengguna tersebut adalah wajar diadakan bagi menambah pendapatan hasil ekonomi negara.
Ini juga akan menambah pendapatan dalam sektor ekopelancongan yang sudah mula dibuka secara berperingkat-peringkat setelah semua bertungkus lumus menstabilkan situasi kesihatan awam yang terjejas oleh pandemik COVID-19 sejak awal 2020 yang lalu.
Seterusnya media juga berkesempatan menemu bual Profesor Dr Ahmad F Yousif yang merupakan pensyarah di Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Beliau amat gembira apabila mendapat berita berkenaan dan berpendapat, perubahan berkenaan memang sangat diperlukan oleh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, memandangkan kebanyakan mereka memiliki ahli keluarga yang ramai dan tidak semua mereka berkemampuan.
Kebanyakan tujuan mereka ke negara jiran untuk membeli keperluan harian kerana harga barangan dapur dan juga barangan lain seperti baju, seluar dan sebagainya sedikit murah berbanding di sini, katanya.
Beliau juga percaya langkah penting itu akan merancakkan kembali ekonomi negara khususnya sektor pelancongan yang terjejas selepas pintu sempadan negara ditutup dalam usaha kerajaan mengekang penularan COVID-19 dalam negara beberapa tahun kebelakangan ini.
Haji Mohd Afdzillah HY, imam masjid di Kampung Kapok pula melafaz rasa syukur atas keprihatinan pihak kerajaan ke atas rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.
Menurutnya, perubahan itu amat menggembirakan mereka sekeluarga memandangkan mereka adalah sebuah keluarga besar. Pengemaskinian dalam sistem itu dapat menjimatkan wang untuk kegunaan lain.
Beliau juga berkata, dengan pembaharuan ini, bukan sahaja rakyat Brunei kini boleh keluar masuk negara seperti biasa sebaliknya pengembara luar juga boleh melakukan perkara sama tanpa perlu lagi khawatir, namun mereka hendaklah mengikut peraturan yang telah ditetapkan sebelum ini.
Untuk maklumat orang ramai, di bawah sistem baharu, bagi kenderaan penumpang dengan muatan tidak melebihi tujuh orang termasuk pemandu, akan dikenakan bayaran $3 setiap kenderaan bagi satu hala perjalanan.
Bagi kenderaan penumpang dengan muatan lebih daripada tujuh orang hingga 25 orang termasuk pemandu, seperti van atau bas mini, akan dikenakan bayaran sebanyak $6 setiap kenderaan bagi satu hala perjalanan.
Seterusnya bagi kenderaan penumpang dengan muatan lebih daripada 25 orang termasuk pemandu, seperti bas pula akan dikenakan bayaran sebanyak $10.
Bagi kenderaan komersial yang tidak memerlukan pemeriksaan melalui mesin pengimbas, akan dikenakan bayaran sebanyak $6.
Manakala itu, bagi kenderaan komersial yang perlu menjalani pemeriksaan melalui mesin pengimbas, akan dikenakan bayaran sebanyak $10.
Bayaran caj perkhidmatan akan dikenakan ke atas semua kenderaan yang hendak melalui kesemua pos kawalan darat di negara ini tanpa mengira tempat pendaftaran kenderaan.
Bayaran akan dikecualikan bagi pejalan kaki dan kenderaan-kenderaan seperti basikal, motosikal, kenderaan yang dimiliki oleh kerajaan Brunei atau kerajaan luar negara bagi kegunaan rasmi.
Kenderaan lain yang turut dikecualikan pembayaran ialah kenderaan milik oleh pegawai kerajaan Brunei atau kerajaan luar negara bagi menjalankan tugas rasmi, kenderaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, kenderaan khusus seperti ambulans, bomba dan polis dan kenderaan di bawah kegunaan Diplomatic Privileges (Vienna Convention) Act (Chapter 117) dan Consular Relations Act (Chapter 118).