Pengurangan kawalan masjid masih tahap ke-4

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) memaklumkan bahawa langkah-langkah pengurangan kawalan bagi masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara adalah masih pada tahap ke-4.

Sehubungan itu, jemaah dan orang ramai yang hendak memasuki masjid dikehendaki mematuhi panduan yang telah ditetapkan termasuk memakai penutup mulut dan hidung muka (face mask) ketika berada dalam kawasan masjid di samping membawa sejadah sendiri dan mengimbas kod QR apabila memasuki masjid atau surau.

Sesiapa yang tidak mematuhi arahan berkenaan adalah dikira melakukan kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 dan boleh dikenakan denda kompaun sehingga $5,000 atau jika sabit kesalahan di mahkamah, boleh dikenakan denda sehingga $10,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.